Adanya Forest City, Johor bertambah besar, titah  Sultan Ibrahim

Adanya Forest City, Johor bertambah besar, titah Sultan Ibrahim

 


Sultan anggap Johor bertambah besar dengan adanya Forest City.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah projek Forest City membolehkan wilayah negeri di selatan tanah air itu bertambah besar.

Baginda menyangkal dakwaan projek membabitkan pembinaan empat pulau buatan itu menggadaikan tanah Johor sebaliknya akan menambah hasil pendapatan kerajaan negeri selain meningkatkan nilai hartanah.

“Bila masa Johor gadai tanah? Gadai apa maknanya? Dengan adanya Forest City, maka negeri Johor bertambah besar. Bukan ambil tanah pergi gadai.

“Di Johor juga ada lot antarabangsa, ada rizab Melayu. Sesiapa boleh beli kalau lot antarabangsa, baik Mat Salleh dari England, orang India, Jepun, China, semua berhak.

“Dia boleh beli tetapi bukan bermakna dia beli tanah itu dia bawa balik negeri masing-masing,” titahnya
dipetik akhbar Berita Harian, hari ini.

Projek Forest City seluas kira-kira 1,386.05 hektar itu merupakan projek pertama seumpamanya di Asia Tenggara yang dibangunkan secara bersama antara Country Garden Holdings Co. Ltd. berpangkalan di Guangdong, China dan syarikat Johor, Esplanade Danga 88 Sdn. Bhd.

Forest City merupakan projek terbesar Country Garden di luar China yang pernah membangunkan bandar seperti itu di lebih 100 buah bandar raya seluruh dunia.

Menurut Sultan Ibrahim, bukan semua pelabur dari China memiliki Forest City memandangkan 40 peratus pelabur dalam projek ultra-mega itu adalah tempatan malah kerajaan juga memiliki saham.

Baginda turut menyelar pihak yang mendakwa Forest City sebagai menggadai tanah Johor.

“Pekerjaan siapa dapat? Pengangkutan, peniaga, peluang pekerjaan. Janganlah cetek akal,” titah baginda lagi.

Projek Forest City turut bakal direntasi rangkaian pengangkutan awam iaitu sistem transit aliran ringan menghubungkan Singapura menerusi feri selain cadangan kereta api berkelajuan tinggi Singapura-Malaysia.

Sebuah jambatan juga dilapor akan dibina ke empat-empat pulau itu selain dihubungkan dengan LinKedua ke Singapura.

CATEGORIES