Malaysia Dateline

Adanya kes zalim, hukuman mati mandatori perlu dikekalkan

Pengerusi Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abd Rahman berpendapat bahawa hukuman mati mandatori masih perlu dikekalkan di negara ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kes terbaru yang melibatkan seorang bayi perempuan berusia 11 bulan yang meninggal dunia Jumaat lalu dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuhnya.

Menulis di Facebooknya Zaharuddin berkata, kewujudan kes-kes melampau zalim seperti ini di dalam negara, menyebabkan hukuman mati ke atas beberapa jenis kesalahan melampau zalim masih perlu dikekalkan.

Baru-baru ini, ahli keluarga mangsa kes pembunuhan berprofil tinggi tampil mendesak kerajaan supaya tidak memansuhkan hukuman mati mandatori.

Mereka antaranya adalah ahli keluarga, jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya; timbalan pendakwa raya, Datuk Anthony Kevin Morais dan pegawai bank, Wong Jing Kui.

Menurut mereka pemansuhan hukuman mati adalah tidak adil dan hanya akan menyumbang kepada peningkatan kes jenayah berat di negara ini.

Awal Oktober lalu, Kabinet memutuskan yang pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan akan dimansuhkan di negara ini dan susulan itu, semua pelaksanaan hukuman mati akan ditangguhkan sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa.

Kabinet seterusnya menimbang mengenakan hukuman penjara minimum 30 tahun jika hukuman mati mandatori dimansuhkan.

Ketika ini ada 18 kesalahan jenayah yang memperuntukkan hukuman mati, termasuk mengedar dadah, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, keganasan, membunuh, membunuh mangsa ketika penculikan, memiliki dan menggunakan senjata api, merogol sehingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.

Pada masa ini seramai 1,267 banduan berdepan hukuman mati di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952, tetapi hukuman itu tidak dilaksanakan sejak 2014.