Adeline Chang tuntut gaji kakak dibayar, dakwa Auntie Anne’s nak tumpang populariti

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini, rangkaian kedai pretzel popular iaitu Auntie Anne’s mengumumkan pemecatan seorang kakitangan mereka di cawangan pusat membeli-belah, Midvalley di Kuala Lumpur.

Pemecatan tersebut dilakukan selepas tularnya rakaman dan gambar memaparkan pekerja terbabit membuat aksi bermain serta mencuim tepung uli yang akan dijadikan pretzel.

Difahamkan, pekerja terbabit diberhentikan serta-merta malah cawangan Auntie Anne’s di Midvalley itu terpaksa ditutup sementara untuk proses nyah kuman dan pembersihan menyeluruh.

Namun siapa sangka, pekerja dikenali sebagai Alice itu adalah kakak kepada Adeline Chang iaitu sosok kontroversi yang sebelum ini tular kerana enggan membuat pembayaran selepas menaiki e-hailing.

Susulan pemecatan kakaknya, Adeline tampil melakukan siaran langsung di platform media sosial menuntut agar gaji Alice yang didakwa tertunggak dibayar dengan segera.

Malah Adeline turut meluahkan ketidakpuasan hatinya di atas pemecatan Alice selain mendakwa Auntie Anne’s hanya mempergunakan dan memanfaatkan populariti kakaknya itu.

“Sebelum ini, mereka (Auntie Anne’s) berpuas hati dengan prestasi Alice. Jadi mereka menghantar kakak saya untuk bekerja di cawangan Mid Valley.

“Tetapi syarikat itu hanya mahu mengambil kesempatan di atas populariti kakak saya. Sebab itulah mereka setuju mengambilnya bekerja. Namun mereka tidak pernah berniat mahu memberikan kerja tetap,” dakwa Adeline Chang.

Dalam siaran langsung tersebut, Adeline menjelaskan bahawa kakaknya itu sebelum ini memulakan latihan di cawangan Auntie Anne’s di Sungei Wang pada 30 September.

Menurut Adeline, Alice sepatutnya dibayar gaji daripada tempoh latihan tersebut bagaimanapun kakaknya tidak menerima bayaran sejak dipecat oleh syarikat berkenaan selepas mencetuskan kontroversi di media sosial.

Sesi siaran langsung berkenaan sempat dirakam sebelum dimuat naik di platform Facebook oleh seorang pengguna yang menggunakan akaun dengan nama Adeline Chang.

Baca juga: ‘Influencer’ acah kaya buat hal, borong makanan banyak tapi nak bayar dengan gadai telefon bimbit