Niat tersembunyi Adenan halang pembangkang masuki Sarawak

Niat tersembunyi Adenan halang pembangkang masuki Sarawak

Naib ketua pemuda Amanah Nasional Wan Anwar Wan Ibrahim mendakwa ketua menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem tidak memahami demokrasi apabila melarang pemimpin pembangkang memasuki Sarawak menjelang pilihan raya negeri (PRN) Mei depan.

Beliau berkata, walaupun tindakan tersebut tidak melanggar undang-undang dan perlembagaan, namun ia adalah tindakan berat sebelah dan mempunyai niat tersembunyi.

Menurut beliau yang juga seorang peguam, artikel 9 Perlembagaan Persekutuan memang menjamin hak untuk mana-mana warganegara bergerak dalam persekutuan termasuk Sabah dan Sarawak.

Namun Klausa 2 dan 3 perkara 9 perlembagaan persekutuan menyatakan bahawa ia tertakluk kepada mana-mana undang-undang yang boleh mengawal selia pergerakan warganegara.

“Sabah dan Sarawak boleh buat undang-undang termasuk menghalang kemasukan orang asing ke negerinya.

“Kalau ikut undang-undang memang tak salah tapi dalam konteks hendak menghadapi pilihan raya negeri, kita pelik kalau dalam keadaan biasa orang yang dihalang masuk tidak dihalang tapi kenapa menjelang pilihan raya pemimpin pembangkang dihalang masuk.

“Memang kerajaan negeri tidak demokratik dan tidak faham apa itu demokrasi,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Adenan sebelum ini bertegas tidak akan menarik balik larangan terhadap pemimpin pembangkang memasuki Sarawak sebaliknya berkata mereka hanya boleh memasuki Sarawak selepas PRN.

Larangan itu dakwanya bagi menjaga keharmonian negeri itu.

Antara pemimpin pembangkang yang dihalang memasuki Sarawak ialah presiden Amanah Mohd Sabu, dua pemimpin PKR yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Maung Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dari DAP.

Wan Anwar menggesa Adenan menarik balik larangan tersebut dan memberi peluang kepada semua parti untuk berkempen bagi menghadapi PRN.

“Saya menyeru larangan ini dapat dipertimbang untuk ditarik balik.

“Kita harap semua parti hatta BN sekalipun diberi ruang demokratik untuk bertanding dan biarlah bertanding atas padang yang sama rata,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Mei sebagai tarikh PRN Sarawak.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan tarikh itu selepas mengadakan mesyuarat khas di Kuching, hari ini, berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 11 April lalu.

Mohd Hashim turut mengumumkan undi awal akan diadakan pada 3 Mei.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari.

TAGS