Adenan Satem elok perkemas sekolah dahulu sebelum bahasa Inggeris

Langkah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang mahu negeri itu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi, selain bahasa Melayu dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri mengundang kritikan pengguna media sosial.

Para pengguna media sosial khasnya Facebook meminta Adenan  cermin diri terlebih dahulu dengan memberi perhatian kepada usaha menambah baik kualiti infrastruktur terutama di kawasan pedalaman yang dilihat jauh ketinggalan berbanding negeri lain.

“Kalau baca Laporan Audit Negara 2014, hampir 86 peratus sekolah-sekolah di Sarawak terutama sekolah rendah, infrastruktur banyak yang rosak teruk. Ada baiknya ketua menteri tengok hal-hal yang begini,” ujar Ishak Salim melalui Facebook.

Menyedari hal berkaitan bahasa rasmi masih tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan mengikut Perkara 152, 161 dan 162, Ahmad Imran pula berkata, “Tak patut negara yang dah merdeka guna bahasa luar sebagai bahasa yang menjadi urusan dalaman negara.”

Sementara itu, membandingkan pengalaman negara lain yang maju kerana mengupayakan bahasa kebangsaannya sendiri, Raja Syahrul Helmi berkata, Jerman pernah mundur kerana mengagungkan bahasa Perancis kerana menganggap bahasa mereka sendiri bahasa kelas rendah.

“Akibatnya, rakyat kelas rendah yang tidak tahu berbahasa Perancis tidak berpeluang menimba ilmu dan terus mundur. Keadaan berubah bila semua lapisan rakyat mendapat pendidikan selepas bahasa Jerman menjadi bahasa pengantar dalam pendidikan,” jelas Raja Syahrul.

Tidak kurang juga ada pengguna laman Facebook mengaitkan pendirian Adenan yang sebelum ini menyokong Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dengan menggelarkan Putrajaya sebagai bodoh kerana enggan mengiktiraf sijil sekolah menengah persendirian Cina itu.

“Bab UEC pun dia (Adenan) pertahankan juga. Lain pendirian betul,” ujar Diari Husna.

Adenan menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini mengumumkan kerajaan negeri akan membenarkan urusan surat-menyurat rasmi dilakukan dalam bahasa Inggeris selain bahasa kebangsaan.

Walau bagaimanapun, Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim mengingatkan kerajaan Sarawak supaya merujuk Perlembagaan kerana tindakan tersebut dikhuatiri mengundang bibit-bibit perpecahan dalam masyarakat.

“Soal bahasa adalah isu nasional, bukan negeri. Apakah Sarawak berhasrat mewujudkan negeri sendiri di luar Malaysia? Perkara ini tidak boleh dipolitikkan dan mungkin menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai, bagaimana sesebuah negeri boleh mewujudkan bahasa (rasmi) sendiri,” tegasnya kepada pemberita di Kota Bharu, Isnin (23 November) lalu.

TAGS