Malaysia Dateline

Adham didesak guna kuasa tarik semula kompaun RM1,500 pelajar matrikulasi

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mendesak Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba menggunakan kuasa menterinya untuk membatalkan kompaun yang dikenakan terhadap sekumpulan pelajar matrikulasi sebagaimana kesalahan demi kesalahan melibatkan para menteri tidak pernah dihiraukan.

Menerusi kenyataan Ketua AMK, Akmal Nasir dan Setiausahanya Syukri Razab, mereka menganggap tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengenakan kompaun kepada pelajar terbabit, tidak berlandaskan budi bicara yang sewajarnya.

Menurutnya, perkara itu sama sekali tidak mencerminkan kaedah penyelesaian yang rasional apatah lagi apabila pelajar-pelajar tersebut masih di bawah tanggungan keluarga dan ada dalam kalangan mereka dari keluarga berpendapatan B40.

“Situasi ini amat berbeza jika dibandingkan dengan layanan terhadap golongan “kayangan” atau VVIP yang melanggar SOP.

“Sering kedengaran bahawa kertas siasatan akan dibuka manakala bagi rakyat biasa akan dikenakan kompaun terlebih dahulu dan kemudian jika ada perkara lain yang berbangkit barulah siasatan lanjut diadakan.

“Usaha bagi mendisiplinkan rakyat agar mematuhi SOP akan lebih sukar susulan pendekatan dua darjat yang masih berlaku serta kegagalan pimpinan utama kerajaan sendiri untuk menunjukkan teladan kepada rakyat dalam aspek pematuhan SOP,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial apabila pegawai KKM mengenakan kompaun RM1,500 kepada sekumpulan pelajar matrikulasi di Perak.

Kehadiran pegawai tersebut di kolej berkenaan susulan kes keracunan makanan yang berlaku dan tiada kaitan dengan kes Covid-19.

Difahamkan juga, kesemua pelajar di situ sudah berada di kolej selama lima bulan dan mempunyai kontak luar yang amat minimum.

Sementara itu, AMK membangkitkan isu di mana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Mohamed Azmin dalam program baru-baru ini dilihat tidak memakai pelitup muka.

Malah, penjarakan sosial juga tidak terkawal ketika sesi moreh di sebuah masjid di Gombak seolah-olah ianya bukan satu kesalahan dan tiadak siasatan dijalankan.

“Bukan itu sahaja, beberapa kes pelanggaran SOP oleh menteri yang pernah disuarakan sebelum ini juga masih belum kedengaran sebarang perkembangan,” katanya lagi.