Malaysia Dateline

Adham muncul selepas 12 tahun menyepi

Sekitar tahun 2004 hingga 2008 gerakan mahasiswa sangat biasa dengan Dr Adham Baba. Bukan calang-calang, seorang doktor perubatan muda yang menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi.

Menterinya ketika itu Datuk Dr Shafie Salleh. Timbalannya ialah Datuk Fu Ah Kiew dari MCA. Dr Shafie baru meninggal dunia tahun lepas. Ketika itu Setiausaha Parlimen adalah di kedudukan ketiga kanan dalam anggota pentadbiran kementerian selepas Menteri dan timbalan Menteri. Kebiasaannya soalan-soalan di Parlimen akan dijawab oleh Setiausaha Parlimen yang juga seorang Ahli Parlimen.

Dr Adham ketika itu Ahli Parlimen Tenggara Johor dan Exco Pemuda Umno. Sebagai ahli politik muda dengan gelaran Dr di depan dan berperwatakan sederhana berdepan lawan, kehadirannya agak disenangi melengkapkan watak bosnya Dr Shafie yang sederhana dan sopan tutur katanya.

Nama beliau jika tidak masyhur seperti ketuanya Datuk Seri Hishamudin Hussin pun, tetapi agak terkenal dalam kalangan peminat-peminat politik tanah air.

Kebiasaannya apabila sebarang memorandum mahasiswa hendak dihantar ke Kementerian Pengajian Tinggi, maka beliaulah yang akan menerimanya mewakili Menteri. Lagaknya yang bersahaja, tidak makan provokasi, mesra melayan menampakkan kelainan pada kelibat ahli-ahli politik pemerintah ketika itu.

Setelah Pilihan Raya Umum 2008, nama Dr Adham hilang sepi. Beliau dibawa pulang ke Johor bertanding di DUN Pasir Raja. Katanya untuk dijadikan Menteri Besar. Namun, tidak berlaku dan terus hilang sepi dari persada politik negara.

Tiada lagi kelibatnya di nasional sebagai tokoh dikagumi ketika zaman Hishamuddin. Beliau kekal sebagai Adun di Johor sebanyak dua penggal iaitu pada 2008 dan 2013.

Selepas 12 tahun menyepi, nama Dr Adham muncul beberapa bulan lalu apabila diumumkan sebagai Menteri Kesihatan baru di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sesiapa yang sezaman melihat pergerakan Pemuda Umno zaman Hishamuddin atau gerakan mahasiswa era 2004, pastinya akan tercari-cari, terlengguk lengguk untuk melihat Dr Adham. Nah! Berbeza sekali.

Baik wajahnya yang berbeza dan perwatakannya. Tidak tahu pula apakah faktor perubahan ini. Tidaklah mahu diulas lanjut. Moga baik-baik saja, sihat dan tidak sakit.

Cukuplah untuk dikhabarkan, beliau bukanlah secara tiba-tiba lahir atau menjelma atau terjelma di kerusi menteri, tetapi berpengalaman ‘duduk’ atau berkhidmat hampir dengan pejabat menteri sebelum ini. Tetapi kenapa hari ini begini? Tiadalah diketahui.

Tutup.
Kata buat diri!

Persoalannya, bukan Dr Adham Baba. Yang boleh mengubah Adham Baba ialah Adham Baba sendiri. Biarlah dia dengan urusannya. Adapun kita tidak terlepas dari usaha merubah diri kita sendiri juga.

Di sebalik ramai yang gembira, bersedih atau separa gembira atau berdebar debar sahaja dengan perubahan kerajaan baru-baru ini, suatu yang baiknya ialah untuk ‘era’ ini, semua parti sempat menjadi kerajaan pusat kecuali Parti Sosialis Malaysia (PSM). Jika PSM juga ada kerusi dan jadi kerajaan Pusat, maka genaplah semua pernah merasa jadi kerajaan.

Maka tahulah laungan-laungan sebelumnya boleh terlaksana atau tidak. Tahulah nafsu-nafsu ‘baru’ sebagai kerajaan yang mengiyurkan. Ketika itu ideologi, dasar atau apa sahaja tertulis dalam kitab perlembagaan organisasi tidak lagi menjadi mustahak.

Kerana Tuhan manusia pada manusia hanya dua, Allah sebenar-benar Tuhan atau dunia yang mempersona. Di kala semua sudah terhidang di depan mata, untuk malu dengan kata-kata dulu atau cantiknya disebut prinsip ‘dulu’, kian pudar. Tiada lagi malu, tiada lagi segan. Yang dihidang, hadapkan sahaja. Alasan atau dalil diusahakan kemudian.

Selepas itu, menuju pertarungan seterusnya, harapannya muncullah realistik dalam bertutur, berjanji, berlawan, berkawan dan segala yang disalutkan dengan kata prinsip sebelumnya.

Moga muncullah kesederhanaan dan hilanglah siasah hukum sehingga kadangkala membunuh kekeluargaan dan silaturrahim sebelumnya. Apapun ini hanya pendapat dan hasrat. Untuk berlaku, entah jadi entah tidak. Setidaknya punya hasrat. Jika hasrat pun tidak dibenarkan, apalah maknanya perjalanan ini.

Apapun jalan terus. Bak kata pujangga tua nomad berbangsa Kurdis, “Air yang bergenang tanpa riak di kolam, ia akan berkeladak dan hapak; hanya apabila ia kekal mengalir, maka air itu akan hening dan jernih”.

Demikian jugalah manusia dalam pengembaraannya.

* Penulis merupakan mantan Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Pertahanan.