Malaysia Dateline

#AdhamBabaLetakJawatan trending lagi di Twitter

Tanda pagar #AdhamBabaLetakJawatan “trending” di Twitter hari ini selepas kerajaan menguatkuasakan pengecualian kuarantin selama 10 hari untuk menteri yang pulang dari luar negara.

Menerusi Warta Kerajaan Persekutuan semalam, menteri akan dikecualikan daripada Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan hanya akan dipantau selama tiga hari, berbanding 10 hari seperti rakyat lain.

Tanda pagar berkenaan sehingga tengahari tadi sudah mencecah lebih 12,000 Tweet.

“Keputusan seperti ini menunjukkan kurangnya penghargaan anda kepada petugas kesihatan barisan hadapan kami.

“Dari ramai-ramai orang, anda (sebagai) Menteri Kesihatan telah merosakkan kerja dan usaha mereka dengan keputusan ini. #AdhamBabaLetakJawatan,” kata @FiqhTabayyun.

Pengguna lain turut menyelar keputusan berkenaan kerana menganggap kerajaan masih belum menangani kluster menteri, namun mahu menguatkuasakan peraturan berkenaan yang akan menambah kes dalam kluster berkenaan.

Sebelum ini, beberapa menteri PN dilaporkan telah dikesan positif Covid-19.

Sementara itu, terdapat juga pengguna yang berpendapat kerajaan jelas telah menggunakan dwi-standard dan memperjudikan keselamatan orang ramai dengan tindakan tersebut.

“Kita perlu fikirkan cara untuk buat protes dalam norma baharu. Ini tak boleh dibiarkan lebih lama. Rosak hancur negara. #AdhamBabaLetakJawatan,” kata @malissaali.

Susulan keputusan berkenaan, rata-rata pengguna mula membangkitkan semula tanda pagar #KitaMintaLima yang pernah trending di Twitter baru-baru ini.

Tanda pagar berkenaan, memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong untuk menggesa kerajaan melihat kepada lima tuntutan mereka berhubung peraturan dan bantuan kepada rakyat sepanjang pelaksanaan darurat.

Dalam tuntutan berkenaan, mereka antara lain meminta penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang adil untuk rakyat biasa dan juga menteri-menteri.

Selain itu, mereka juga memberi kata dua kepada kerajaan jika tidak mengambil berat tuntutan itu, mereka mahukan kerajaan ditukar.