Adhif Syan, Ahmad Redzuan digantung jawatan serta-merta

Adhif Syan, Ahmad Redzuan digantung jawatan serta-merta
Adhif Syan Abdullah

Ketua Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengesahkan Ketua Armada Selangor, Adhif Syan Abdullah digantung daripada memegang jawatan tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Syed Saddiq dalam kenyataan hari ini, jawatan tersebut akan dipangku oleh Timbalan Ketua Armada Selangor iaitu Anas Akashah Nazri.

Turut digantung adalah Penolong Setiausaha Armada Nasional, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi dan jawatan berkenaan dipangku oleh Exco Armada Nasional, Danial Syahiran Ho Imran Ho.

“Penggantungan ini berkuatkuasa serta-merta sehingga selesai siasatan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan kes yang berkaitan.

“Kami (Armada Malaysia) juga mendoakan semoga siasatan dapat dijalankan dengan lancar dan adil mengikut lunas undang- undang negara.

“Pihak Armada merakamkan ribuan terima kasih atas khidmat dan bakti mereka sepanjang memegang jawatan sebagai pimpinan Armada Malaysia,” kata Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan dalam kenyataan hari ini.

Isnin lalu, Adhif Syan yang merupakan Adun Dengkil antara 17 individu yang ditahan pihak polis dalam satu operasi di sebuah kondominium di Jalan Puchong.

Hasil siasatan dilakukan, polis menemui serbuk dipercayai dadah dan rokok dipercayai mengandungi ganja dan saringan awal ujian air kencing mendapati 16 daripada mereka positif dadah.