Abu Dhabi Investment Authority (ADIA), salah satu dana kekayaan terbesar dunia dengan aset dianggarkan melebihi USD1 trillion memberi komitmen untuk terus mempertingkat pelaburan di Malaysia, kata Tengku Zafrul Abdul Aziz Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataannya.
Badan pelaburan itu akan memberi tumpuan utama dalam mencipta nilai yang lebih besar untuk memastikan kejayaan pelaburan-pelaburan di Malaysia di pelbagai sektor termasuk dalam transformasi Malaysia Airport Holding Berhad (MIHB).
Komitmen itu diberikan ADIA kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rombongannya yang berjumpa dengan kepimpinan Utama badan itu semalam.
Rombongan PM Anwar telah berpeluang bertemu dengan kepimpinan tertinggi ADIA di Abu Dhabi.
Pertemuan ini, kata Tengku Zafrul, bakal membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama pelaburan strategik antara Malaysia dan UAE.
Dalam pertemuan ini, mereka berbincang bersama H.H. Sheikh Hamed bin Zayed Al Nahyan, Pengarah Urusan ADIA, serta barisan kepimpinan lain seperti H.E. Mr. Khalil Foulathi dan Mr. Mohamed Al Ameri, yang menyatakan minat mendalam terhadap peluang pelaburan di Malaysia, katanya.
Sebagai pelabur global berimpak tinggi, ADIA memainkan peranan penting dalam sektor infrastruktur, kesihatan, tenaga, dan banyak lagi di peringkat global.
Antara pelaburan utama mereka di peringkat antarabangsa termasuk lapangan terbang di UK dan Perancis, Pelabuhan Khalifa di UAE, serta projek infrastruktur logistik di India dan tenaga di Amerika Syarikat.
Di Malaysia, komitmen ADIA terserlah melalui pelaburan yang selaras dengan New Industrial Master Plan 2030 (NIMP 2030) dan rangka kerja Ekonomi MADANI.
Antara sumbangan penting mereka termasuk kerjasama dengan Global Infrastructure Partners (GIP) dalam usaha penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), selain pelaburan dalam projek infrastruktur utama yang menyokong pertumbuhan mampan negara.
“Di dalam perbincangan tersebut juga, ADIA yang telah sekian lama melabur di Malaysia memberi komitmen untuk terus mempertingkat dan memberi tumpuan utama dalam mencipta nilai yang lebih besar untuk memastikan kejayaan pelaburan-pelaburan di Malaysia di pelbagai sektor termasuk dalam transformasi MAHB.
“Ini jelas menunjukkan keyakinan kukuh terhadap dasar-dasar Kerajaan yang mesra pelabur yang akan memanfaatkan rakyat dalam jangka masa Panjang,” kata Tengku Zafrul.
Melalui hubungan strategik ini, rombongan PM Anwar dijangka akan terus memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi utama untuk pelaburan berkualiti tinggi, sekaligus memperkukuh daya saing ekonomi, mencipta peluang pekerjaan baharu, dan merancakkan pembangunan ekonomi negara.
Sebelum ini, media melaporkan, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedang melalui proses transformasi besar-besaran dengan matlamat untuk memacu pembangunan lapangan terbang bertaraf dunia di Malaysia.
Ia melibatkan ADIA sebagai salah satu badan pelaburannya bersama Global Infrastructure Partners (GIP) di bawah Korsortium GDA.
Ini berikutan pengambilalihan MAHB oleh Konsortium GDA yang terdiri daripada Khazanah Nasional (Khazanah, melalui anak syarikat milik penuh iaitu UEM Group Bhd), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP).
Ia adalah sebahagian usaha untuk meningkatkan daya saing MAHB serta menghadapi cabaran global yang kian meningkat.
Melalui pengambilalihan ini juga, Khazanah/UEM dan KWSP muncul sebagai pemegang saham majoriti dalam MAHB.
Konsortium GDA yang termasuk di dalamnya ADIA dijangka merealisasikan aspirasi MAHB untuk meningkatkan nilai ekonomi lapangan terbang melalui pelbagai strategi pembangunan.
Ini termasuk memanfaatkan lokasi Malaysia untuk menjadikan KLIA sebagai hab antarabangsa terkemuka dan hab transit yang menarik dengan meningkatkan kesalinghubungan, membuka laluan penerbangan baharu, serta menawarkan lebih banyak pilihan syarikat penerbangan, sekali gus merancakkan sektor pelancongan.
Konsortium itu dijangka meningkatkan tahap perkhidmatan pelanggan dan kecekapan operasi serta memberikan kemudahan pemindahan pengetahuan teknikal yang berkesan kepada MAHB.
Baca juga: TokTi guna Booking.com je untuk tempah hotel termahal di Dubai