Malaysia Dateline

Adik abang berbeza parti politik bertemu di PRK Tanjung Piai

Di Dewan Rakyat, kita sering melihat penglibatan anak-beranak iaitu Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Izzah Anwar Ibrahim.

Namun, suasana berbeza di Pusat Penamaan Calon, Parlimen Tanjung Piai apabila dua beradik berbeza parti politik bertemu berhampiran khemah Barisan Nasional (BN), hari ini.

Menerusi pengamatan wartawan, walaupun kedua-dua mereka mewakili parti berbeza, namun dua beradik itu tetap mesra dan profesional.

Tan Sri Shahrir Samad yang merupakan abang kepada Khalid Samad kelihatan mesra bersalaman antara satu sama lain. Selepas selesai bersalaman, mereka kembali ke khemah dan duduk bersama parti masing-masing.

Para pengamal media juga tidak melepaskan peluang merakamkan saat menarik yang dipamerkan dua beradik tersebut.

Khalid Samad adalah Pengarah Komunikasi AMANAH yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, manakala Shahrir Samad adalah bekas Ahli Parlimen Johor Baharu dan bekas menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.