“Siapakah kamu untuk sebarkan ketidakpastian tentang pemergian abang saya?” – adik Nidza Afham 

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi, Aufahanie yang juga adik kepada Allahyarham Nidza Afham merasa kesal apabila seorang individu memuat naik satu perkongsian tidak sahih mengenai punca kematian abangnya.

Individu terbabit menerusi hantaran di platform X mendakwa arwah Nidza yang juga seorang penyanyi itu telah mengambil nyawanya sendiri kerana mempunyai masalah dengan teman wanitanya.

Dakwaan dibuat selepas individu itu ‘melakukan siasatan’ berdasarkan beberapa hantaran di platfrom TikTok yang diulang siar (repost) oleh arwah Nidza di akaun miliknya.

Susulan itu, Aufahanie tampil bersuara untuk menafikan tuduhan berkenaan dengan mengatakan bahawa hubungan arwah Nidza dan teman wanitanya tidak mempunyai sebarang masalah.

Malah pada hari Ahad lalu, arwah sempat keluar bersama tunangnya untuk mencari lokasi yang sesuai untuk majlis perkahwinan mereka kelak sebelum penyanyi berkenaan dilaporkan hilang.

“Siapakah kamu untuk mengeluarkan kenyataan seolah-olah kamu mengenali abang saya dan teman wanitanya dengan dengan rapat? Kami semua sangat rapat dengan arwah dan juga teman wanitanya.

“Telefon bimbit arwah ada pada kami. Dalam Whatsapp, kami membaca perancangan mereka untuk berkahwin, beberapa hari sebelum abang saya dilaporkan hilang. Kami saksi bahawasanya mereka dalam keadaan baik.

“Siapakah kamu untuk menyebarkan ketidakpastian tentang cara pemergian abang saya sedangkan kami sekeluarga masih menunggu keputusan yang masih dalam siasatan pihak hospital?,” soal Aufahanie kepada individu itu.

Sehubungan dengan itu, Aufahanie memohon individu terbabit memadam hantaran berkenaan supaya sebarang spekulasi dan fitnah mengenai pemergian abangnya berhenti tersebar.

Aufa turut mencabar individu berkenaan untuk tampil ke balai polis bagi memberikan keterangan sebagai seorang saksi sekiranya dia melihat arwah Nidza ambil nyawanya sendiri.

”Padam ciapan anda. Berhenti menyebarkan spekulasi dan fitnah terhadap arwah abang saya yang tercinta. Kami sekeluarga tidak reda dan tidak akan memaafkan kenyataan yang dibuat oleh anda.

“Saya minta anda ke balai polis dan berikan keterangan saksi bahawa anda MELIHAT DENGAN MATA anda dan ANDA SAKSI yang abang saya ambil nyawanya sendiri beserta dengab BUKTI,” tulis Aufahanie sebagai respon kepada tuduhan individu itu.

Sekadar info, kes membabitkan pemilik nama sebenar Muhammad Nidza Afham Mokhtar itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) namun punca kematian arwah direkodkan sebagai pending laboratory investigation (menunggu siasatan makmal).

Baca juga: “Allah cabut nyawa tak kira masa dan tempat”, ‘repost’ terakhir Nidza Afham jadi tumpuan