Malaysia Dateline

Adik cuba bantu selamatkan abang tapi sama maut terkena renjatan elektrik

Seorang adik cuba membantu menyelamatkan abangnya yang terkena renjatan elektrik ketika bermain di luar rumah mereka tetapi kedua-duanya maut dalam kejadian tragis di Kampung Teras Jernang, Kajang petang Jumaat semalam.

Tragedi menimpa dua beradik iaitu Adam Harish Zamri dan Adam Haziq Zamri masing-masing berumur 10 dan 11 tahun itu disaksikan oleh adik bongsu kepada mangsa.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi, Norazlin Syahidah Ali berkata, kejadian berlaku semasa kedua-dua murid sekolah itu sedang bermain air di luar rumah selepas bapa mereka pergi ke kedai yang jaraknya kira-kira 1 hingga 2 kilometer.

“Ada wayar elektrik pada tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) terputus dan terjatuh atas bumbung rumah.

“Ketika mereka bermain di luar rumah, mangsa (berumur 11 tahun) terpegang besi ampaian baju dalam keadaan basah dan terkena renjatan elektrik.

“Adiknya cuba bantu selamatkan abangnya, tapi turut terkena renjatan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya, lapor Sinar Harian hari ini.

Sehubungan itu, pihak sekolah, katanya, sedang melaksanakan kutipan derma kilat untuk membantu keluarga tersebut yang dikatakan asnaf tanpa pendapatan tetap.

“Kutipan ini dilakukan bagi meringankan beban keluarga mangsa. Ibu bapa mangsa hanya bekerja sendiri, kutip botol, tin, tangkap ikan di sungai untuk dijual,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga mangsa boleh menyalurkan sumbangan ke akaun PIBG SK Bandar Baru Bangi iaitu 12100000758712 (Bank Muamalat Malaysia Berhad) sehingga 5 Oktober.

Transaksi tersebut kemudiannya perlu dihantar kepada Norazlin Syahidah di talian 016746818 untuk pengesahan penerimaan dan rekod.

Baca juga Jangan tahu pandu sahaja, perempuan pun kena tahu setiap lampu amaran dalam kereta

Baca juga Bukan sahaja tambah aroma dalam masakan, rupanya ada 21 khasiat daun pandan yang dirahsiakan