Adik dakwa Nur Nilam diserang ‘perempuan gila’, Azlan Komeng halang buat laporan?

Oleh WAN SITI AMINAH

Adik ipar kepada pelakon, Azlan Komeng yang dikenali sebagai Epul mendakwa kakaknya iaitu Nur Nilam Ortiz telah diserang oleh individu yang digelarkannya sebagai ‘perempuan gila’ baru-baru ini.

Menerusi satu perkongsian dimuat naik platform TikTok, Epul memaklumkan bahawa wanita berkenaan datang ke rumah mereka dipercayai bertujuan untuk mencetuskan pergaduhan.

Epul bagaimanapun meluahkan rasa lega kerana situasi masih dapat dikawal ekoran ketika kejadian, dia dan Azlan Komeng turut berada di rumah sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Dalam perkongsian itu, Epul tidak menamakan individu yang telah menyerang kakaknya namun ramai pengguna TikTok menduga bahawa wanita dimaksudkannya adalah bakal madu Nur Nilam.

“Ada seorang perempuan gila datang rumah serang kakak aku. Aku geramlah. Aku rasa semua tahu fasal kes kakak, Nur Nilam dengan Azlan Komeng. Perempuan itu boleh datang, terpacak dekat rumah nak serang kakak.

“Nasib baik ketika itu, aku dan abang Azlan ada di rumah. Aku sudah cakap dengan kakak pergi buat laporan polis, tetapi abang Azlan tahan. Kalau ikutkan hati aku, (tunjuk penumbuk) sudah pergi singgah dekat muka dia,” katanya.

Dalam perkongsian yang sama, Epul mengakui enggan masuk campur di dalam urusan kakaknya dengan Azlan Komeng namun dirinya merasa sangat geram melihat Nur Nilam diserang sedemikian.

Tampak seperti menahan amarah dan rasa sebak, Epul bagaimanapun tidak teragak-agak untuk melakukan perkara sama sekiranya terjumpa atau terserempak dengan wanita berkenaan di luar kelak.

“Aku sebenarnya tak sukalah masuk campur urusan kakak dengan abang Azlan, biarlah mereka selesaikan sendiri hal ini. Hari itu aku teman abang Azlan nak masuk Thailand untuk pujuk kakak. Aku turutkan sahaja.

“Tetapi kes serang datang rumah itu memang aku geram. Kepada perempuan itu, kalau aku jumpa kau dekat luar, memang ini (penumbuk) makan muka. Kalau ada barang dekat tangan, memang aku lempar dekat muka dia.” Kesalnya.

Baca juga: Arif Aiman satu-satunya pemain pertahan gelaran ‘Pemain Paling Bernilai’