‘Adik dengar kakak cakap tak nak’ – Guru mengaji didakwa laku amang seksual terhadap murid 8 tahun

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang guru mengaji dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak muridnya yang berusia lapan tahun di sebuah pusat pengajian di Batu Pahat, Johor, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Amir Syahmi Manat bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan ke atasnya itu dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Berdasarkan pertuduhan, pemuda berusia 23 tahun yang masih bujang itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak muridnya di dalam bilik air di sebuah pusat mengaji pada 21 Ogos lalu, jam 6.30 petang.

Menurut laporan, kejadian mencemaskan itu berlaku ketika mangsa bersama adik perempuannya yang berusia enam tahun mengaji di pusat pengajian berkenaan, lapor Berita Harian.

Ketika kejadian berlaku, terdapat tiga murid termasuk seorang lelaki berada di pusat berkenaan namun tertuduh bertindak memintanya pulang ke rumah dahulu sebelum meninggalkan dua beradik berkenaan.

Tertuduh kemudian membawa mangsa iaitu kakak ke dalam bilik air tersebut sambil disaksikan oleh adiknya yang dilarang masuk sebaliknya diminta untuk menunggu di luar sahaja.

Bagaimanapun sewaktu berada di luar, sang adik terdengar suara kakaknya berkata ‘tak nak’ dari dalam bilik air sebelum kanak-kanak berusia lapan tahun itu keluar bersama tertuduh.

Adik mangsa kemudian menceritakan semula kejadian itu kepada ibu mereka sambil menangis sebelum bertindak membuat laporan di Balai Polis Sri Gading, Batu Pahat pada hari yang sama.

Untuk kedua-dua pertuduhan, guru mengaji itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukan penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Pendakwaan kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ariff Marzuki manakala guru mengaji berkenaan diwakili peguamnya iaitu Mohd Razak Shariff.

Terdahulu, pihak pendakwaan telah memohon supaya mahkamah mengenakan kadar ikat jamin yang tertinggi terhadap tertuduh selain turut menetapkan dua syarat.

Mahkamah kemudian membenarkan Amir Syahmi untuk diikat jamin sebanyak RM12,000 untuk kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh 8 Oktober ini untuk serahan dokumen.

Tertuduh juga diperintahkan mahkamah untuk melapor diri di Balai Polis Yong Peng setiap awal bulan selain tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa sehingga prosiding selesai.

Baca juga: Terpedaya dengan ‘Love Scam’, pesara bank rugi hampir RM2 juta