Malaysia Dateline

PDRM

Adik jumpa mayat abang terbaring tepi sungai

Mayat seorang pemuda ditemukan adiknya terbaring tepi sungai kampung Tanjung Pagar, Dungun selepas mangsa dikatakan keluar dari rumah pada 26 Mac, kira-kira jam 12 tengahari.

Mangsa, Mohd Shafeqal Mohd Fadli, 31, yang tinggal di kawasan Perumahan Bukit Tebuk sebelum itu tidak pulang sepanjang hari tersebut.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, mayat itu ditemukan selepas adik mangsa yang berusia 25 tahun dikatakan bertindak mencari mangsa.

“Adik mangsa telah menjumpai motosikal milik abangnya itu berada di tepi sungai terbabit namun gagal menemui abangnya itu.

“Keluarga mangsa terus menyambung pencarian itu dan sekali lagi pergi ke sungai terbabit dua hari selepas itu sebelum menemui mayat mangsa dalam keadaan terbaring,” lapor BH.

Menurutnya, siasatan polis percaya mangsa lemas ketika mandi di kawasan tepi sungai terbabit.

“Mungkin pada hari pertama pencarian, ahli keluarganya gagal menemui mangsa disebabkan air sungai ketika itu pasang besar.

“Polis yang menerima laporan bergegas ke lokasi kejadian dan siasatan polis tidak menemui sebarang unsur jenayah,” jelasnya.

Tambah Baharudin lagi, mayat mangsa kemudianya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengkebumian.