Malaysia Dateline

Adik Najib akui kes Covid-19 meruncing bahana politik

Adik Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan campur tangan politik menjadi punca situasi Covid-19 meruncing walaupun di peringkat awal negara dapat menangani pandemik itu dengan baik.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi CIMB, Datuk Seri Mohamed Nazir Abdul Razak berkata, kes jangkitan melonjak akibat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lalu.

“Di peringkat awal Malaysia melakukannya dengan betul apabila membiarkan pakar menjadi ketua. Semasa mereka yang profesional mengetuai, kita lihat angka jangkitan terkawal.

“Masalah bermula apabila politik mengambil alih, iaitu bermula dengan pilihan raya negeri Sabah, angka jangkitan semakin teruk,” katanya dalam sesi webinar Leaders Speakeasy semalam.

Sehubungan itu, beliau berpendapat masalah yang dihadapi hari ini bukan hanya berpunca daripada kekurangan dari sudut kepimpinan kerajaan bahkan melibatkan sistem secara keseluruhannya.

“Krisis kita sekarang adalah pada sistem, bukan sekadar isu kepimpinan sahaja. Saya fikir dalam sistem kita, pemimpin yang baik pun akan terganggu dengan sistem yang ada.

“Saya pernah menulis berkenaan bagaimana Malaysia sebenarnya diterajui oleh raksasa berkepala tiga iaitu politik wang, politik identiti dan pemusatan kuasa. Tiga elemen ini mengganggu pemikiran pemimpin kita,” katanya.

Dalam sesi yang berlangsung selama sejam itu, Nazir turut mengimbas kembali bagaimana kebimbangan terhadap legasi Tun Razak menjadi faktor utama yang membawanya terbabit dalam aspirasi pembinaan semula negara atau ‘nation building’.

“Semuanya bermula pada 2015, terutama apabila timbul isu berkaitan 1MDB, saya mula merasakan ada yang tidak betul dalam sistem kepimpinan kita.

“Sejak itu saya memulakan kempen untuk Malaysia ‘reset’ atau bermula kembali, saya mula bercakap tentang perlunya ada majlis penasihat seperti pada tahun 1970 kerana terlalu banyak kerosakan yang memerlukan baik pulih secara keseluruhan,” tambahnya.

Awal tahun ini, anak bongsu kepada Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein itu menyarankan supaya penyusunan semula kontrak sosial baharu dilakukan demi masa depan yang lebih baik dari aspek ekonomi, politik dan sosial.

Nazir juga mengulangi seruannya untuk penubuhan Majlis Perundingan Nasional (NCC) bagi menyatukan pemimpin mengikut bidang masing-masing untuk melakar jalan baru buat Malaysia.

Pada November tahun lalu dalam bicara kepimpinan Alumni Chevening, Nazir menyifatkan secara sinis Malaysia tidak mempunyai ekonomi sebaliknya ekonomi politik.

“Sistem sedia ada sepertinya, memberikan kelebihan kepada ahli politik dan parti-parti politik untuk bertindak dengan cara tertentu dan yang lebih malang lagi, sistem sedia ada menggalakkan mereka berantakan, menjadi rentan terhadap wang dan insentif serta terlalu berpihak kepada kuasa,” katanya lagi.