Malaysia Dateline

Adik Peguam Negara sah dicadang jadi Speaker Dewan Rakyat, Azalina jadi timbalan

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun sahih dicadangkan Perdana Menteri untuk menggantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Turut menggantikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul bagi sidang Parlimen yang bakal bermula 13 Julai ini menyebutkan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mencadangkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatannya atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan itu.

Cadangan pengosongan jawatan juga dibuat terhadap Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul pada nombor tiga turut menyebut Muhyiddin telah memastikan Azhar bersetuju untuk berkhidmat jika dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pelantikan Mohamad Ariff dan Kor Ming sebelum ini adalah ketika di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Muhyiddin dilapor menghantar usul bagi menggantikan Ariff dan Kor Ming, pada 26 Jun lalu.

Mereka kemudiannya mengesahkan sudah menerima usul mencadangkan supaya khidmat masing-masing sebagai Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat ditamatkan.

Azhar, 58, yang juga dikenali sebagai peguam hak asasi manusia merupakan adik kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Azhar berpengalaman dalam pelbagai kes petisyen pilihan raya selama lebih 30 tahun dan berada dalam pasukan peguam yang berjaya membebaskan penulis blog, Raja Petra Kamarudin daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2008.

Difahamkan, beliau yang lebih mesra dengan panggilan Art Harun sudah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi SPR pada 29 Jun lalu.

Mohamad Ariff dan Nga Kor Ming sah bakal disingkir.