Adik reka cerita dongeng isu jual rumah, Shila Amzah ‘meletup’ dedah hal sebenar

Oleh WAN SITI AMINAH

Sekian lama berdiam diri, penyanyi terkenal iaitu Shila Amzah akhirnya membuka suara menjelaskan isu penjualan rumah yang hangat diperkatakan pada saat ini.

Kecewa dengan tindakan adik lelakinya, Amir Syafiq Amzah, Shila mengaku sudah penat berhadapan drama atau kontroversi yang kini menyelubungi keluarganya.

Penyanyi itu juga tidak menyangka keputusannya untuk menjual rumah yang didiami keluarganya itu boleh mengundang tomahan daripada adik-beradiknya sendiri.

Malah, pengorbanan yang selama ini dibuat oleh penyanyi berusia 33 tahun itu bagai tidak dihargai sehingga ‘dicop’ sebagai kakak sulung yang tidak bertanggungjawab.

Tidak dapat menahan rasa yang terbuku di hati, Shila terpaksa menceritakan hal sebenar selepas Syafiq mereka cerita dongeng untuk meletakkan kesalahan pada kakaknya.

Berjaya menyita perhatian ramai, perkara tersebut dibongkarkan Shila Amzah menerusi siaran langsung yang diadakan di platform media sosial Instagram miliknya.

Menurut Shila, hasratnya untuk menjual banglo 9,000 kaki persegi itu dan menggantikan dengan rumah lain sebenarnya telah dipersetujui ibunya, Fauziah Sarman.

“Saya dapat banyak mesej daripada Amir yang asyik salahkan Shila. Orang macam ini dia tidak sedar, selalu tuding jari dekat orang lain. Padahal tangan ini yang gosok baju sekolah mereka.

“Tangan ini yang basuh, kapur kasut sekolah. Saya sudah terlalu penat nak hadap ini semua. Tetapi sebab mereka dedahkan saya sudah tak boleh diam.

“Saya jumpa ibu hujung minggu lepas cakap ejen hartanah akan datang. Ibu setuju untuk saya jual rumah. Ibu minta rumah teres dan fikirkan adik-adik iaitu Amir Syafiq dan Syada,” katanya.

Rupanya, banglo tujuh bilik tidur, tiga ‘rumah’ kucing itu hanya didiami oleh ibunya, Fauziah Sarman, tiga adiknya, Syafiq, Syahir, Syada dan juga anak saudaranya.

Menerusi siaran langsung itu juga, Shila Amzah mendedahkan bahawa Syafiq pernah melempang pipinya sedangkan hutang adik lelakinya itu turut ditanggung olehnya.

“Dia punya tangan pernah sepak kita. Nak cakap dia hebat sangat. Konon dia yang paling tersakiti. Ya Allah, hutang dia, kahwin dia pun Sha yang bayar. Tanya dia, dah bayar belum nafkah anak dia?.” Soalnya.

Terdahulu, Amir Syafiq Amzah mendakwa bahawa kakaknya cuba menjual rumah banglo yang didiami keluarga semata-mata untuk mendapatkan keuntungan lumayan.

Adik perempuan Shila iaitu Syada Amzah juga mendakwa keluarganya dilayan seperti ‘haiwan jalanan’ kerana ada individu datang ‘menjenguk’ rumah bagi urusan jual beli.

Sedangkan, Shila memutuskan untuk menjual banglo miliknya itu kerana mahu menyediakan sebuah rumah lain yang lebih selesa dan berpatutan untuk didiami keluarganya.

Baca juga: “Dah buang, kena halau lagi”, Syada Amzah dedah keluarga dihalau keluar rumah?