Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan seorang remaja mendayung sampan untuk mengharungi banjir paras pinggang di sekitar kawasan Tumpat di Kelantan.
Namun apa yang membuatkan pengguna media sosial terharu dengan rakaman dikongsikan di platform TikTok itu adalah tujuan remaja berkenaan sanggup mendayung sampan untuk mengharung air banjir.
Difahamkan, tujuan remaja terbabit berbuat sedemikian adalah untuk membantu kakaknya mendapatkan akses internet yang lebih stabil di kawasan tidak dinaiki air bagi menghantar tugasan universiti.
Perkongsian tersebut dimuat naik oleh sang kakak yang bersyukur kerana dikurniakan adik bersikap memahami dan berusaha mendayung sampan dengan baik hingga selamat menuju ke destinasi.
“Keluar cari akses internet untuk hantar tugasan universiti sebab dekat rumah capaiannya lemah. Tiba-tiba, jalan nak keluar tiang elektrik jatuh. Jadi terpaksa guna laluan jauh. Kemudian sampailah di tempat parkir motosikal.
“Selepas itu bawa motosikal untuk pergi ke tempat parkir kereta pula. Kena pergi bandar Kota Bharu sebab bandar Tumpat sudah dinaiki air jadi kedai tutup. Nasib ada kafe yang ada akses internat buka (di Kota Bharu).
“Kemudian mak, abah dan adik telefon suruh belikan lilin sebab takut tiada elektrik malam nanti. Air paip tiada jadi beli juga air mineral dan makanan,” kongsi sang kakak dalam hantaran berbentuk video itu.
Mereka berdua kemudian balik beberapa jam kemudian dan sang kakak berterima kasih kepada adiknya ekoran kembali mendayung sampan untuk pulang ke rumah selain memohon doa orang ramai agar banjir segera surut.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna TikTok berkongsi rasa sebak dan terharu ekoran si adik sanggup berkorban tenaga selain berharap kakaknya tidak melupakan pengorbanan tersebut.
Ramai juga pengguna memuji sikap pelajar berkenaan kerana tidak menjadikan banjir sebagai penghalang bagi menyiapkan tugasan dan mendoakan agar urusan keluarga itu serta semua mangsa banjir dipermudahkan.
Baca juga: Setiap tahun terapung, pelik kenapa orang Pantai Timur tak buat rumah terapung macam ini