“Adik sibuk kongsi petua sebab dia mengandung dulu, padahal aku dah puas ikhtiar”

Oleh WAN SITI AMINAH

Gara-gara belum disahkan mengandung selepas dua tahun berumah tangga, seorang wanita terpaksa berdepan dengan tekanan daripada keluarganya sendiri.

Bukan sahaja selalu menerima soalan tentang anak setiap kali tiba musim perayaan, ibu kepada wanita terbabit juga menuduhnya tidak berikhtiar untuk mendapatkan zuriat.

Masih lagi menyimpan harapan untuk menimang cahaya mata suatu hari nanti, berikut perkongsian wanita yang memohon orang ramai bersikap lebih bertimbang rasa.

“Aku sudah berkahwin, tahun ini masuk dua tahun berumah tangga. Alhamdulillah. Setakat ini semuanya baik-baik sahaja. Kadang-kadang bergaduh, merajuk ataupun salah faham itu biasalah. Tetapi aku dan suami belum ada rezeki untuk menimang cahaya mata sendiri. Perkara ini bukanlah masalah yang besar untuk kami.

“Bukan tak mahu anak, cuma belum ada rezeki. Suami selalu cakap yang kita sudah berusaha dan ikhtiar. Sekarana ini hanya perlu tawakal dan yakin kepada Allah SWT sahaja. Masalahnya terletak kepada orang lain yang berada sekeliling kami. Contoh terdekat, adik aku sendiri yang tengah mengandungkan anak sulungnya.

“Semua hal berkaitan mengandung dekat sosial media, adik aku nak beritahulah. Dia kongsi dan hantarkan kepada aku. Segala jamu, makanan tambahan dan petua dia suruh aku praktikkan untuk dapatkan anak. Sedangkan aku sudah cakap dekat dia yang diri ini baik-baik sahaja. Malah semua perkara yang dia cakap sudah aku buat.

“Belum lagi saudara mara, jiran tetangga, sepupu papat dan rakan sekerja yang tak habis tanya bila nak anak, dengan sangkaan teori pembawakan budak bagai. Cuba bayangkan, salah makan atau tak sihat sedikit sudah dikatanya pembawakan budak dan alahan. Tak selera atau makan banyak juga kononnya simptom pembawakan.

“Jumpa pula musim raya, sibuk gosok perut dan tanya bila nak ada isi. Mak sendiri juga pernah sekolahkan aku. Katanya, aku yang tak mahu mengandung sebab takut badan jadi tak lawa. Aku jawablah belum ada rezeki. Mak cakap sebab aku yang tak ikhtiar. Sudahnya aku menangis ketika memandu sepanjang perjalanan pergi kerja.

“Macam inilah, kami yang masih cuba mengandung atau TTC (Trying To Conceive) ini sudah berikhtiar macam-macam. Cumanya tak nak hebohkan usaha yang telah kami lakukan. Kami sendiri takut untuk berikan harapan kepada diri sendiri. Risau kalaulah semua usaha yang telah kami lakukan, masih lagi tak menjadi.

“Tak perlulah nak kaitkan semua perkara dengan mengandung atau anak. Bukan aku cepat terasa, cuma takut dengan harapan. Jangan juga menghakimi usaha ataupun ikhtiar orang lain. Ada sahaja masalah dalaman lain yang kami berTTC ini alami. Tak perlulah menjadi orang yang terpaling mengandung ataupun terpaling ada anak.

“Aku gembira sahaja untuk kalian semua yang ada rezeki beranak-pinak. Malah aku sentiasa doakan kalian semua. Tetapi berhentilah jadi manusia yang terpaling. Kami juga ada hati, ada harapan yang belum pasti. Cukup sahaja doakan kami.” Kongsi wanita itu menerusi satu hantaran di atas talian.

Baca juga: Tak puas hati majlis dibatalkan, lelaki minta calon isteri bayar semula RM6k duit belanja kahwin