Malaysia Dateline

Adil lawannya Zalim

Satu kaedah yang saya pelajari di dalam memahami maksud satu-satu perkataan ialah mencari perkataan yang berlawanan dengannya. Kaedah ini kadang-kadang boleh jadi menakutkan kerana banyak istilah-istilah yang sebenarnya berat maknanya kita pandang ringan selama ini.

Apabila Allah menyeru kita supaya berlaku Adil dan Ihsan, mungkin kita tidak berasa takut apabila kita “tidak adil”. Namun, apabila kita mencari apakah yang berlawanan dengan “adil”, jawapan yang saya jumpa ialah “zalim”. Oleh itu, jika kita tidak adil, kita sudah jadi zalim.

Mungkin “zalim” pun sudah menjadi perkataan yang tidak menakutkan kerana beberapa sebab:

  1. Kita tidak memahami atau tahu maksud adil itu sendiri dan di mana kita kena berlaku adil
  2. Kita tidak tahu kepada siapa kita perlu berlaku adil. Di dalam konteks negara ini, bangsa dan agama boleh menyebabkan seseorang berasa dia ada hak istimewa dan boleh mengambil banyak benda dari orang lain yang tidak sebangsa dan seagama
  3. Berasa bahawa adil atau zalim itu hanyalah berdasarkan kepada apa yang otaknya fikir atau pun amalan masyarakat yang dominan, bukan berdasarkan firman Allah SWT dan juga ajaran Rasululah SAW
  4. Tidak tahu atau faham bertapa beratnya dosa menzalimi manusia dan makhluk Allah yang lain.

Saya masih belum habis lagi mendengar syarahan Sheikh Omar Suleiman berkenaan 40 hadis mengenail keadilan sosial (sebenarnya beliau mensyarahkan hampir 100 hadis dan ditambah dengan ayat-ayat Al Quran). Namun, apa yang mengerunkan saya ialah kezaliman boleh terjadi di dalam banyak perkara, Allah tidak membezakan agama orang yang kita zalimi dan balasan kezaliman amat berat di Akhirat.

Saya jarang mendengar berkenaan keadilan sosial dikupas dengan mendalam berdasarkan perspektif Al Quran dan Sunnah di negara ini. Mungkin kerana di sini orang-orang Islam berasa mereka ada hak-hak istimewa yang lebih tinggi dari Shariah. Manakala Sheikh Omar berada di Dallas, Amerika, di mana Islam adalah minoriti. Mengajar pun dalam Bahasa Inggeris yang lembut, tak guna istilah-istilah gedēbē seperti di Kelantan. Namun, oleh kerana asas kepada perbincangan beliau mengenai isu ini adalah wahyu, maka ianya menjadi relevan di mana sahaja.

Walaupun benar kezaliman yang paling besar ialah mensyirikkan Allah, ianya tidak bermakna orang bukan Islam boleh kita zalimi dan mereka tidak boleh berlaku adil di dalam perkara-perkara lain. Jika Allah mengharamkan kezaliman ke atas zatnya dan melarang kita berlaku zalim sesama kita, bolehkah kita mempercayai orang-orang Islam yang berani berbuat zalim dan tidak berasa malu dengan kezaliman berkenaan? Pecah amanah dan salahguna kuasa adalah kezaliman yang jelas.

Bagi saya topik ini perlu dibahas dan difahami di negara ini juga kerana jika tidak, kita boleh menjadi selesa dengan pelbagai perkara yang membawa kepada kezaliman di sisi Allah tetapi sudah menjadi amalan biasa dan dikira hak istimewa pula.

Arahan Allah dan Rasulullah SAW supaya kita berlaku adil lebih besar dari seruan orang-orang lain walau sebesar mana pun pengaruh mereka dari segi agama dan bangsa di kalangan masyarakat setempat.

Marilah kita menjadi orang-orang yang termasuk di dalam golongan Ulul Albab, golongan yang sentiasa memilih yang terbaik dari pilihan-pilihan yang ada. Baik itu pun adalah dari perspektif Allah dan Rasul, bukan logik yang menjadikan kita istimewa dari perspektif bangsa.


Penulis adalah bekas CEO Tabung Haji. Ini adalah tulisan yang dibuat dalam facebook beliau.