Malaysia Dateline

‘Adinda Syahir’ nasihat Ketua Pemuda Umno usah mengungkit

Selepas Ketua Pemuda Umno menyelar Ketua Pemuda Bersatu, anak buah Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula bersuara.

Setiausaha Politik Presiden Pas, Syahir Sulaiman yang memanggil Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai ‘kekanda’ mengingatkan Ahli Majlis Tertinggi Umno itu supaya tidak mengungkit.

Menurut Syahir, 37, lebih banyak perkara yang Pas boleh ungkit jika mahu berbuat demikian.

“Jika mahu diungkit, orang Pas lagi banyak boleh mengungkit – berkorban harta, jiwa, tenaga, dan maruah – namun segalanya tidak lagi berbangkit,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Semalam, Asyraf Wajdi, 44, mengingatkan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tentang sikap mengalah Umno sebelum ini.

Reaksi itu susulan kenyataan Ahmad Fayhsal,33, yang berkata, Perikatan Nasional (PN) tidak dibebani dengan isu legasi atau defisit kepercayaan berbanding parti lain.

Malah, katanya, kekuatan PN banyak terkumpul pada Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dianggapnya tidak angkuh.

Sehubungan itu, Syahir yang juga bekas Penolong Setiausaha Dewan Pemuda Pas Selangor mengingatkan Asyraf Wajdi tentang hal yang perlu diutamakan.

Dalam masa sama, Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat itu juga mengakui kesilapan kenyataan Fayhsal.

“Kewajipan kita banyak, masa kita sedikit. Setuju Ketua Armada terkhilaf. Khalas.

“Ayuh pandang ke hadapan. Rapatkan saf. Kukuhkan perpaduan. Buktikan keinsafan. Inilah jiwa besar Pas,” katanya.

Syahir yang membahasakan dirinya sebagai ‘adinda’ itu juga mengakhiri catatannya dengan tanda pagar #UbahAtauRebah.

Reaksi Syahir itu muncul selepas beberapa pemimpin Umno berang dengan kenyataan Fayhsal selain kecaman daripada penyokong BN termasuk pengundi di Sabah.