
Adly berhasrat pertahan jawatan Pengerusi Amanah Melaka, AJK Amanah Nasional
Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berhasrat mempertahankan jawatannya sebagai Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri pada pemilihan parti yang dijangka diadakan Disember ini.
Beliau berkata dia juga akan cuba mempertahankan jawatan sedia ada sebagai Ahli Jawatankuasa Amanah di peringkat nasional.
“Saya tidak berhasrat bertanding mana-mana jawatan di peringkat cawangan atau kawasan sebaliknya akan cuba mempertahankan jawatan sedia ada sebagai Pengerusi Amanah Melaka dan Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) hari ini.
Dalam perkembangan lain, Adly berkata Kompleks Masjid Kampung Hulu yang terdiri daripada 36 bilik penginapan dan sebuah dewan bernilai RM7.4 juta kini telah 90 peratus siap dibina.
Katanya bagaimanapun kerajaan negeri belum memutuskan model pembangunan yang ingin dilaksanakan bagi projek itu yang dijangka siap pada Sept ini.
“Kerajaan negeri bersama JAIM sedang menilai beberapa model pembangunan yang akan diguna pakai pada projek itu sama ada ingin dijadikan pusat latihan atau hotel bajet,” katanya.– BERNAMA