Malaysia Dateline

Adly bukan boneka, dia praktikal, kata Tun Khalil bekas gabenor Melaka

Bekas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob memuji sikap Pengerusi Pakatan Harapan, Adly Zahari yang dianggap sebagai berintelek dan praktikal.

Menurutnya, Adly sama sekali tidak dilihat sebagai boneka DAP, rakan gabungan dalam PH.

Adly katanya, hanyalah bersifat praktikal bekerjasama dengan DAP yang merupakan blok besar dan mampu memberi sokongan kepada beliau sebagai calon Ketua Menteri.

“Saya secara peribadi sebagai (bekas) Gabenor walaupun tidak berpolitik, saya meminati dengan kualiti yang dia ada. Dia sangat ‘gentleman’.

“Kalau nak tahu sama ada dia boneka atau tidak, jawabnya tidak. Dia seorang pragmatik, kena tukar perkataan tu.

“Kenapa ada ayat mengatakan dia ini boneka kepada DAP? Sebab dia praktikal. Dia kenal DAP ini satu blok yang besar. Sangat unik. Saya pun tahu dari dulu lagi (DAP) sangat bersatu padu.

“Dia sebagai ketua menteri masa itu, dia mesti ‘survey’ di mana terdapat sokongan-sokongan yang kuat kepadanya. Dia sorang pragmatik, dan praktikal dalam apa-apa yang dia lakukan,” katanya dalam satu klip video.

Pada masa sama, Mohd Khalil juga mengakui beliau meminati sifat kepimpinan Adly namun tidak campur tangan dalam politik yang berada di belakang Adly.

“Secara diam-diam saya meminati dia tapi saya tak boleh campur tangan politik di belakang Adly. Dan kali ini dia memimpin satu parti atau organisasi yang saya rasa boleh membantu dia.

Mohd Khalil telah beberapa kali menghadiri program kempen calon PH sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang menandakan sebagai satu isyarat positif kepada gagasan politik itu.