Malaysia Dateline

Adly calon tepat yang ditunggu-tunggu

Pengerusi AMANAH Melaka, Adly Zahari dianggap sebagai individu yang tepat untuk dicalonkan sebagai Ketua Menteri susulan pengumuman Pakatan Harapan semalam yang menamakan Adly sebagai calon mereka.

Setiausaha Agung AMANAH Nasional, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli berpandangan bahawa pencalonan Adly antara yang ditunggu-tunggu semua pengundi dan penyokong PH.

Oleh kerana program pembangunan Melaka di bawah PH dahulu belum dapat diselesaikan, Mohd Hatta menegaskan bahawa sememangnya adalah wajar untuk Adly diberikan tanggungjawab dan peranan bersama PH meneruskan kerja baik yang mereka mulakan.

“Saya berkeyakinan rakyat Melaka menerima baik pengumuman ini kerana itulah yang mereka tunggu-tunggu kerana mereka sudah merasai duduk di bawah pentadbiran Adly.

“Kali ini saya berkeyakinan mereka akan memilih PH supaya hasrat kesinambungan ini dapat diteruskan. PH menaruh keyakinan atas kemampuan Adly dan pasukannya dalam mentadbir Melaka. Hasrat untuk membawa Melaka maju bersama Harapan akan dapat dijayakan.

“Saya ucapkan syabas kepada pasukan Adly, harap dapat pikul tanggungjawab ini,” katanya epada Malaysia Dateline. Pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional, Aiman Athirah turut berpandangan bahawa Adly sebagai pemimpin telah berjaya menjalankan tugasnya sepanjang 22 bulan pentadbiran PH dengan sangat baik.

Aiman Athirah menyambut baik pengumuman pencalonan tersebut dan berharap agar Adly dapat meneruskan kerja baik beliau yang tergendala sebelum ini.

“Ramai mengetahui Adly menjalankan tugas dengan baik dan ini adalah pilihan yang sangat tepat dan ditunggu-tunggu oleh semua penyokong PH khususnya penggerak AMANAH dan PH apatah lagi pengundi Melaka.

“Selama hampir dua minggu di Melaka, saya melihat kegembiraan pengundi Melaka terhadap keberkesanan pentadbiran Adly.

“Adly juga dikenali sebagai orang yang sangat mesra dan baik, tidak memilih parti politik, dan akan memberikan yang terbaik untuk rakyat tanpa memerlukan birokrasi seperti mana yang biasa dilalui mereka. Saya ucapkan tahniah pada Adly,” katanya.