Malaysia Dateline

Adly dan keluarga selesai mengundi, seru rakyat tunai tanggungjawab

Adly Zahari yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal, jam 8.20 pagi tadi.

Calon Ketua Menteri Melaka mewakili Pakatan Harapan itu bersama isteri, Dalilah Awaludin, dan anak sulung mereka Izny Adly berusia 24 tahun.

Mereka tiba di pusat pengundian pada 8.06 pagi, dan menjadi antara pengundi terawal yang hadir di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal.

Ketika ditemui, Adly berharap semua rakyat Melaka keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.

“Alhamdulillah pagi ini cuaca baik. Saya berharap rakyat boleh jalankan tanggungjawab mereka hari ini.

“Proses pengundian juga berjalan dengan baik dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya

DUN Bukit Katil menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Al Afiz Yahya daripada Perikatan Nasional (PN),Adly serta Datuk Hasnoor Sdg Husin (Barisan Nasional) dan Abdul Hamid Mustapah (Bebas).