Malaysia Dateline

Adly dilantik Naib Presiden AMANAH

Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini melantik bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari yang juga Pengerusi AMANAH negeri sebagai Naib Presiden parti itu.

Presiden Mohamad Sabu, berkata pelantikan itu bagi mengisi kekosongan jawatan Naib Presiden yang sebelum ini dipegang oleh Datuk Husam Musa.

“Pelantikan YB Adly selaras dengan aspirasi AMANAH untuk menampilkan lebih ramai pemimpin pelapis untuk menerajui kepimpinan parti dan negara di masa hadapan.

“Selaras dengan matlamat ini juga, AMANAH telah melantik YB Ir Izham Hashim, 59, Pengerusi AMANAH Selangor sebagai Bendahari Agung Parti AMANAH Negara menggantikan YB Adly.

“Kami yakin pelantikan ini akan mengukuhkan lagi imej Parti Amanah Negara sebagai parti yang membawa mesej ‘Rahmatan Lil Aalamin’ dalam kalangan masyarakat,” kata Mohamad Sabu dalam kenyataan hari ini.

Adly, 50, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, sebelum ini merupakan Bendahari Agung AMANAH.