Adly janji selesaikan isu  tunggakan gaji  pasukan Melaka United

Adly janji selesaikan isu tunggakan gaji pasukan Melaka United

Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (Musa) Adly Zahari berjanji akan cuba menyelesaikan isu gaji tertunggak pemain pasukan Melaka United dalam masa sebulan.

Beliau berkata pihak pengurusan telah melakukan perbincangan dengan pemain dan juga jurulatih bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Kita akan sentiasa memberi keutamaan kepada kebajikan pemain dan saya yakin bahawa perkara ini akan dapat diselesaikan dalam masa sebulan lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kongres Tahunan Musa kali ke-63 di Melaka, hari ini, lapor Bernama.

Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Musa, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Media sebelum ini melaporkan, Musa gagal membayar gaji pemainnya selama dua bulan iaitu pada bulan Jun dan Julai disebabkan oleh masalah kewangan yang melanda persatuan tersebut.

Adly yang juga Ketua Menteri Melaka turut mengakui bahawa Musa mengalami masalah penerimaan tajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) setelah berlaku pertukaran kerajaan negeri.

“Kita yakin bahawa perkara ini tidak akan mengganggu prestasi pasukan Melaka United,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adly berkata persatuan sukan tidak seharusnya terus ditadbir urus oleh pemimpin politik.

“Bagi mengubah kelaziman ini, satu mekanisme perlu dicari bagi membolehkan pemimpin sukan mentadbir urus sesebuah persatuan sukan dengan lebih baik lagi,” katanya.

Adly berkata buat masa ini beliau menerima jawatan presiden Musa disebabkan oleh masalah kesukaran mendapatkan penajaan dan beliau mengambil tanggung jawab itu untuk membantu pasukan Melaka.

Jawatan presiden dan timbalan presiden Musa tidak dipertanding pada Kongres Musa ke-63 yang kini masing-masing disandang oleh Adly dan Mohd Yusoff.

Tiga muka baharu dilantik sebagai naib presiden pada pemilihan hari ini iaitu Harun Mohamad, Mohd Ashiq Abd.Samad dan Yong Yoon Pin, manakala Datuk Fadzli A.Bakar terus mempertahankan jawatan tersebut untuk penggal ini.

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS