Adly, Melaka dan budaya

Oleh NASUHA RAHMAN

Pada Januari 2020 saya mula bertugas di Melaka bertempat di UTC, Jalan Hang Tuah. Sementara saya mendapat rumah kediaman yang sesuai, saya menumpang di bilik pekerja di bangunan Seri Bendahara, kediaman rasmi Ketua Menteri yang tidak digunakan oleh Adly Zahari. Beliau lebih selesa tinggal di kuarters kerajaan di Bukit Peringit yang tidak memerlukan perbelanjaan wang negeri terlalu besar. Jimat duit negeri Melaka. Untung rakyat.

Setiap hujung minggu tiga malam, hampir seratus anak-anak muda tempatan berniaga barangan bundle di tapak letak kereta UTC. Kami tidak mengenakan sebarang bayaran kepada mereka bagi membantu mereka mempertingkatkan pembangunan kapital dan semangat berniaga.

Sebelum itu, bertahun-tahun mereka tiada tempat berniaga yang tetap. Sering berpindah dan ada yang kena halau dan dikompoun. Hanya selepas PH menjadi kerajaan, mereka mempunyai tempat yang tetap walaupun masih dianggap menumpang. Sehingga kini, mereka kekal berniaga di situ.

Pasar bundle atau dikenali sebagai pasar karat adalah sub-budaya anak-anak muda khususnya orang Melayu kebanyakan. Jualan kasut, baju, t’shirt, seluar dan barang-barangan terpakai tidak sekadar menjimatkan tetapi telah mewujudkan kecenderungan fesyen dan kegiatan ekonomi.

Hari-hari terakhir, sempat juga kami buat konsert di situ. Rancangannya setiap dua minggu ada konsert. Dari rock, blues, pop hingga kepada Dondang Sayang atau Ghazal. Itu rancangan kami. Sebelum itu, kami buat Konsert ‘Blues di Bawah Pokok Melaka’ yang diserikan kehadiran penyanyi blues terkenal tanahair Ito Muhamad. Beliau adalah anak Melaka jati yang tinggal di Pulau Sebang, Alor Gajah.

Saya sudah beberapa kali ke rumahnya bertanya khabar dan berkongsi cerita tentang kebudayaan Melayu di Melaka. Sayang kehebatan Ito Muhamad dipandang sepi. Walhal, beliaulah salah seorang yang menjadi khazanah budaya tempatan yang harus dihargai dan dimanfaatkan.

Sebagai anak seni, mereka bukan mahu peruntukan berjuta-juta ringgit. Mereka mahu kegiatan kebudayaan dipertingkatkan secara seimbang dengan pembangunan negeri.

Malangnya, kerajaan PH Melaka tumbang dan menjadi sebuah sejarah hitam demokrasi tanahair. Lalu bertambahlah khazanah sejarah Melaka mengenai perselingkuhan politik oleh watak-watak si Kitul, Mendeliar, Sultan Melaka, Lopez dan sebagainya dalam kitab dan lidah orang Melaka.

Sejarah adalah pengulangan tragedi dan komedi. Hanya watak dan masanya yang berubah. Perangai hudoh pemimpin yang korup, naif dan tamak kekal hidup menyusahkan rakyat jelata. Jalan singkat mematikan kebijaksanaan rakyat adalah keris dan racun fitnah.

Sewaktu kami dalam Dewan Pemuda Pas Pusat sebagai ahli jawatankuasa, Adly bersama Pas Melaka menganjurkan ‘Malam Dondang Sayang’ di Bukit Katil. Sebelum itu, Dewan Pemuda Pas Pusat pertama kali menganjurkan konsert secara live di Dewan Fadzil Mohd. Noor di Markaz Tarbiyah Taman Melewar, Kuala Lumpur. Banyak kritikan diterima ketika itu dari luar dan dalam. Itu pada awal tahun 2000. Memang jauh berbeza dengan sekarang.

Tetapi pada masa itu, pertama kali Pemuda Pas buat konsert ‘Dondang Sayang’ di Malaysia. Kami buat di Melaka. Maka malam itu, kami Pemuda Pas berdondang sayanglah. Ketika itu, orang kuat Melaka yang membantu menjayakan program itu adalah Abang Yasin, Masjid Tanah. Selepas itu, beliau banyak membantu aktiviti Lujnah Kebudayaan dan Kesenian Pas Pusat termasuk membawa kumpulan nasyid al Jawaher dari Singapura ke Muktamar Pas Pusat di Parit Raja, Johor.

Persoalan budaya tidak sekadar seni persembahan, muzik, lukisan atau tarian. Adly mempunyai pemikiran yang lebih luas tentang kebudayaan. Kebudayaan sebagai cara hidup yang boleh menjana ekonomi keluarga dan negeri. Sebagai sebuah negeri yang banyak bergantung dengan aktiviti pelancongan dan pelaburan dari luar, kerajaan negeri perlu kreatif merangsang perkembangan ekonomi secara mikro terutama di peringkat luar bandar.

Adly Zahari mempunyai pemikiran tentang kebudayaan yang boleh meletakkan Melaka sebagai sebuah negeri berdaya kuasa dalam bidang ekonomi pelancongan yang berasaskan kebudayaan hidup. Tidak memerlukan wang berjuta-juta yang keuntungannya belum pasti diperolehi. Rakyat Melaka hanya perlu mengekalkan cara hidup mereka yang harmoni, penuh warna-warni dan menghormati tetamu.

Motto ‘Inilah rumah kita’ benar-benar menggambarkan pemikiran dan pendekatan Adly dan Pakatan Harapan menjadikan Melaka sebagai tempat yang selesa, selamat dan bahagia. Tidakkah rakyat Melaka maklum tentang kelebihan kepimpinan sekualiti ini?

Penulis menerbitkan beberapa video dokumentari ‘Melaka 5 Minit’ dalam YouTube. Dapatkan karya terbaru Dr. Muhaimin Sulam ‘Menang dan Terbuang’ dan karya-karya lainnya dengan klik sahaja di bit.ly/bukumuhaimin

muhaiminsulam.com