Malaysia Dateline

Adly sedia sambut debat antara calon KM

Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari menyatakan kesediaannya untuk berbahas dan berdebat bersama calon-calon Ketua Menteri sempena pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Katanya, beliau sudahpun menerima beberapa jemputan untuk mengadakan debat berhubung polisi PH dan bersedia untuk menyertainya.

“Kita memang bersedia menyalurkan pandangan dan dasar kita di media arus perdana.

“Saya yakin dengan demokrasi yang matang, demokrasi lebih terbuka, dan demokrasi berdasarkan pengetahuan ini. Apabila berbincang berkaitan dengan rakyat dan dasar-dasar kerajaan, memang ianya satu perbincangan yang baik.

“PH sentiasa terbuka untuk membincangkan, membahas atau memperdebatkan isu-isu yang berkaitan dengan negeri Melaka kerana saya yakin melalui sistem demokrasi yang terbuka ini, maka rakyat akan mendapat (lebih banyak) maklumat,” katanya dalam satu rakaman video yang disiarkan di Facebooknya pagi ini.

Menurut Adly lagi, ini adalah peluang terbaik untuk pengundi di Melaka menilai potensi setiap calon dan memilih mereka yang benar-benar bertanggungjawab.

“Daripada maklumat diperolehi itu, mereka boleh membuat penilaian dan seterusnya memberikan sokongan kepada mana-mana parti yang mereka yakini. Ini demi untuk mendapatkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil, cekap, bertanggungjawab dan telus,” katanya