Malaysia Dateline

Adly ucap selamat tinggal, terima kasih

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mengucapkan selamat tinggal kepada semua pihak dan berterima kasih kerana diberikan peluang untuk menerajui pentadbiran negeri itu.

Dengan pengumuman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggalkan Pakatan Harapan, parti gabungan yang ditubuhkan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu secara rasminya sudah kehilangan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (Dun).

 “Meskipun (hanya diberikan) tempoh yang singkat, saya telah berusaha memberikan yang terbaik dengan kudrat yang ada untuk menghilangkan kelaparan, kejahilan dan kedukaan semua.

“Didoakan supaya semua mendapat rahmat ilahi,” katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.

PH pada asalnya memenangi 15 daripada 28 kerusi DUN Melaka tetapi kini hanya tinggal 13 iaitu DAP (8 kerusi), PKR (3) dan PAN (2).

 Namun begitu, masih tiada pengumuman rasmi sama ada Adly digugurkan atau meletak jawatan selepas kerajaan negeri yang diterajui PH tumbang.

Adly yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Katil mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri ke-11 pada 11 Mei 2018.