Malaysia Dateline

Adly yakin Idris ada semangat yang sama dengan PH

Pakatan Harapan sentiasa terbuka menerima individu atau parti politik untuk bersama-sama dengan mereka tetapi mempunyai syarat penting untuk dipatuhi, kata Pengerusi Pakatan Harapan Melaka Adly Zahari.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ramai berhubung kesediaan Pakatan Harapan menerima tiga lagi ADUN Melaka yang telah melompat parti.

Bagaimanapun, katanya sama ada tiga, empat atau lima orang yang mahu bekerjasama sebenarnya bentuk kerjasama itu cukup luas bukan terhad untuk menjadi calon atau ketua menteri semata-mata.

“Bagi saya siapa sahaja sama ada 3, 4, atau 5 orang yang mahu membentuk kerjasama kerana bagi kita, yang paling penting bagaimana kita boleh bekerjasama bagi pandangan dan pendapat dan dalam masa yang sama apabila diberi mandat kita boleh beri keyakinan kepada rakyat bahawa kita boleh bagi sesuatu yang baik kepada Melaka dan Malaysia seluruhnya.

“Dan saya yakin Idris Haron mempunyai semangat yang sama,” katanya dalam dialog Pentas Dinamik di facebook Tv Dinamika yang disiarkan secara langsung malam tadi.

Adly yang juga Naib Presiden AMANAH, menjelaskan Pakatan Harapan mempunyai agenda penting iaitu pemerintahan yang baik seperti mana yang dituntut oleh parti komponen PH iaitu AMANAH.

“Salah satu komponan PH kita ada Parti Amanah Negara. Kita dalam AMANAH mesti ada tiga nilai utama kepada kita kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan kita,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, katanya Pakatan Harapan mahu melahirkan kepimpinan yang boleh menjadi tauladan kepada masyarakat keseluruhan.

“Sebab itu siapa pun yang bersama PH kita sentiasa terbuka untuk beri sokongan apatah lagi mereka bersama kita mempunyai kualiti kepimpinan yang boleh kita adunkan untuk jadi pimpinan masa depan, PH sentiasa terbuka,” katanya.

Empat ADUN ini menyebabkan kerajaan Melaka tumbang dan membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Bagaimanapun Pakatan Harapan telah membuat keputusan menolak bekas ADUN Pengkalan Batu Datuk Norhizam Baktee untuk dicalonkan mewakili Pakatan Harapan di PRN Melaka 20 November ini.