Malaysia Dateline

Adly yakin isu letak jawatan wanita PKR dapat diselesaikan

engerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, kepimpinan wanita PKR negeri perlu menggunakan kebijaksanaan mereka dalam menyelesaikan isu membabitkan dua ketua wanita cabang parti itu yang meletakkan jawatan baru-baru ini.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi AMANAH negeri itu berkata, isu perletakan jawatan dua ketua wanita cabang PKR negeri berkenaan merupakan masalah dalam parti tersebut.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil itu, masalah dalaman parti hendaklah diselesaikan secara dalaman melalui perbincangan yang baik agar tidak menjejaskan imej kerajaan PH negeri.

“Itu sebenarnya adalah isu dalaman parti (PKR) dan kita serahkannya kepada kebijaksanaan kepemimpinan wanita di peringkat PKR Melaka untuk menyelesaikan isu parti berkenaan.

“Saya yakin, masalah dalaman tersebut akan dapat diselesaikan dengan baik,” dipetik dari Utusan Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pasar Harapan Rakyat D’Ambang Aidilfitri di Dewan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Telok Mas, di Melaka hari ini.

Difahamkan, Ketua Wanita PKR Cabang Tangga Batu, Rohanie Mahmud dikatakan telah meletakkan jawatan pada 26 Januari lalu dan menyertai Umno.

Manakala, Ketua Wanita PKR Cabang Kota Melaka, Lilla Madon melepaskan jawatan sama dipercayai atas isu kesihatan.