ADMS Schneider berikan firma utiliti penyelesaian lebih baik

ADMS Schneider berikan firma utiliti penyelesaian lebih baik

Penggunaan tenaga dalam kalangan rakyat Malaysia sejak dua dekad lalu menyaksikan peningkatan ketara, kata Naib Presiden Unit Perniagaan Schneider Electric Industry (M) Sdn Bhd, Dr Riyaz Rashid.

Katanya, menurut Suruhanjaya Tenaga, permintaan tenaga bagi seorang pengguna meningkat daripada 1,400 kilowat sejam kepada 4,000 kilowat sejam disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi yang pesat, perbandaran yang tinggi dan peningkatan teknologi.

“Lebih banyak tenaga diperlukan untuk menguruskan rumah dan perniagaan, kegagalan tenaga dan gangguan boleh berlaku dan menyebabkan kehilangan serta kesan yang besar kepada pengguna. Jika kita melihat kepada gangguan bekalan elektrik di Johor Bahru baru-baru ini, saya fikir syarikat utiliti dan pengguna kehilangan jutaan ringgit disebabkannya.

“Justeru, cabaran utama dalam industri utiliti pada hari ini adalah bagaimana kita melakukan yang hebat menjadi lebih efisyen, bagaimana memaksimakan keberkesanan dan kebolehpercayaan kadar pengedaran elektrik,” katanya kepada Bernama.

Pada 7 September lalu, Johor Bahru berada dalam keadaan yang kelam kabut selepas berlaku gangguan bekalan elektrik disebabkan masalah di pencawang Tenaga Nasional Bhd, disifatkan antara yang terburuk.

Katanya, mujur, banyak perkara yang boleh dilakukan syarikat utiliti untuk meminimakan gangguan tenaga.

“Penyelesaian grid pintar menyediakan syarikat utiliti dan pengguna kaedah lebih baik untuk menghalang sebarang gangguan sambil menggunakan elektrik, yang mana mereka boleh menentukan berapa banyak elektrik mereka ingin gunakan, bagaimana mereka mahu ia lebih efektif dan memantau penggunaan tenaga,” katanya.

Katanya, sistem pengurusan pengedaran maju (ADMS) Schneider Electric adalah penyelesaian grid pintar untuk membolehkan pemantauan lebih maju, analisis, kawalan, pengoptimaan, perancangan dan fungsi latihan, yang membolehkan syarikat utiliti menyediakan tenaga yang boleh diharapkan, selamat serta efisyen.

Loading...

ADMS berkenaan pada asasnya menyediakan siaran yang jelas dan pada waktu sebenar supaya utiliti yang diuruskan melalui pusat kawalan dapat memantau dengan tepat di mana berlaku gangguan dan menganggarkan berapa banyak masa diperlukan untuk memperbaiki masalah berkenaan, katanya.

ADMS Schneider Electric adalah penanda aras yang digunakan 75 syarikat utiliti yang memberikan perkhidmatan kepada 70 juta pengguna di seluruh dunia.

— BERNAMA