Adrian Ang, Esther Cheah dinobat Olahragawan dan Olahragawati Pulau Pinang 2017/2018

Adrian Ang, Esther Cheah dinobat Olahragawan dan Olahragawati Pulau Pinang 2017/2018

Jaguh tenpin boling negara Adrian Ang dan Esther Cheah masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang 2017/2018.

Terdahulu, anugerah tersebut disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dalam satu majlis di sini malam ini.

Adrian Ang, 31, ketika ditemui pemberita menyatakan bahawa pengiktirafan tersebut adalah sesuatu yang membanggakan kerana segala penat jerihnya berbayar sejak lebih sepuluh tahun berkecimpung dalam sukan tenpin boling.

“Masa depan hendak jadi jurulatih namun, jika negara atau negeri masih memerlukan khidmat, saya bersedia untuk menabur bakti,” katanya yang berasal dari Pulau Tikus yang turut ditemani oleh isteri dan anaknya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Abdul Rashid Ismail yang mewakili sukan bola sepak telah berjaya meraih Anugerah Tokoh Pemimpin (Bola Sepak) 2019, manakala Chin Hajeed dari sukan pencak silat mengungguli Augerah Tokoh Sukan 2019.

Menerusi anugerah sukan dwi tahunan itu, seramai 49 orang calon termasuklah atlet, jurulatih dan pemimpin sukan dalam 11 kategori diberikan penghormatan dan pengiktirafan tertinggi di peringkat negeri Pulau Pinang 2017/2018.

Antara 11 kategori yang diberi pengiktirafan menerusi Anugerah Sukan 2017/2018 termasuk Jurulatih Terbaik, Tokoh Sukan 2019, Olahragawan, Olahragawati, Olahragawan, Pasukan Wanita, Pasukan Lelaki, Olahragawati Paralimpik Wanita, Olahragawan Paralimpik Lelaki, Olahragawati Harapan dan Olahragawan Harapan.