Malaysia Dateline

Aduan Qazaf: Hanipa, Raja Bahrin sudah disiasat Jawi

Dua ahli parlimen AMANAH telah diambil keterangan oleh pegawai penyiasat dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini, susulan aduan berkaitan qazaf terhadap Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Handzlah.

Mohamad Hanipa Maidin

Ahli Parlimen Sepang Mohamad Hanipa Maidin dipetik berkata menerusi status di laman facebook memaklumkan beliau sedang disiasat oleh seorang pegawai wanita dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah diambil keterangan oleh seorang pegawai lelaki di dalam sebuah bilik berasingan.

Dimaklumkan juga pegawai penyiasat telah menonton rakaman video ucapan Ahmad Husni ketika beliau berucap dalam perbahasan bajet di Dewan Rakyat pada 1 November lalu.

“Saya difahamkan ikut SOPnya selepas ini insyaAllah keterangan YB Tambun pula akan diambil,” ujar Mohamad Hanipa sebagaimana di tulis dalam statusnya hari ini.

Pada 7 November lalu ahli parlimen Pakatan Harapan yang di wakili oleh Mohamad Hanipa dan Raja Kamarul Bahrin telah memfailkan aduan qazaf terhadap Ahmad Husni.

Dalam kenyataan bersama ahli parlimen dari AMANAH itu memohon Jawi menyiasat kenyataan dibuat Ahmad Husni di bawah seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.

Dalam ucapan perbahasan yang dibuat Ahmad Husni di dewan rakyat beliau didakwa telah mengeluarkan beberapa perkataan mengenai Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam aduan yang dibuat turut menyebut mereka menyakini kata-kata yang dilontarkan oleh Ahmad Husni di dewan rakyat itu adalah satu tuduhan jenayah qazaf ke atas Anwar.

Ahmad Husni didakwa telah menuduh Anwar melakukan liwat tanpa Ahmad Husni mengemukakan empat saksi lelaki yang benar-benar menyaksikan tuduhan perbuatan liwat tersebut.

Baca: PH fail aduan qazaf terhadap Ahmad Husni atas tuduhan Anwar meliwat