Malaysia Dateline

Adun AMANAH minta hentikan serangan terhadap Dr Noor Hisham

Serangan serta dakwaan terhadap Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Noor Hisham Abdullah telah mendapat teguran dari pelbagai pihak.

Teguran tersebut turut disuarakan oleh Adun Maharani dari AMANAH, Nor Hayati Bachok yang berharap serangan dan dakwaan tersebut perlu dihentikan segera.

Jelasnya, tindakan menyerang Noor Hisham itu adalah suatu yang tidak patut dilakukan kerana beliau telah banyak berjasa kepada negara dalam isu Covid 19 yang menyerang negara hari ini.

“Serangan tersebut bukanlah berfakta pun hanya tekaan dan agakan semata. Telah menjadi kesalahan etika perubatan sekiranya Dr Noor Hisham sebagai pengamal perubatan yang baik untuk menyembunyikan fakta sebenar dalam isu angka Covid 19 ini.

“Saya yakin Dr Noor Hisham tidak langsung terikat atau dipengaruhi dengan mana-mana badan atau individu yang berkuasa sehingga membuatkan beliau mengeluarkan kenyataan yang salah.

“Saya berharap serangan dan dakwaan kepada beliau perlulah dihentikan segera. Apa yang penting adalah kesihatan rakyat yang perlu ditangani terlebih dahulu,” jelasnya ketika dihubungi.

Beliau yang merupakan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Johor, berharap akan ada tindakan terhadap mereka yang mengeluarkan sebarang serangan yang melulu terhadap Pengarah KKM itu.

Hayati turut mendesak agar dihentikan sebarang hebahan berbentuk kreatif seperti karikatur dan kenyataan sindiran terhadap Noor Hisham.

“Kita mahu Dr Noor Hisham terus memberikan fokus kepada isu Covid 19 ini dan sudah pastinya serangan dan dakwaan ini sedikit sebanyak mengganggu kerjanya ketika ini.

“Saya berharap ada tindakan segera diambil bagi mengekang hebahan tersebut agar fokus terhadap pandemik Covid ini dapat diselesaikan segera di negara ini.

“Saya mendoakan juga kesejahteraan dan keselamatan kepada Dr Noor Hisham serta seluruh ‘frontliners’ yang ketika ini sedang berjuang dalam berhadapan dengan Covid 19 ini,” jelasnya lagi.