Malaysia Dateline

Adun AMANAH usaha siapkan rumah baharu untuk asnaf

Menyedari tanggungjawab dan amanah yang terpaksa dipikul, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Faiz Fadzil bagi menangani masalah yang membebani golongan asnaf.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu telah mengambil inisiatif membantu asnaf yang tidak mempunyai kediaman sempurna bagi mendapatkan rumah baharu.

Sebanyak empat unit kediaman baharu dapat diusahakan bagi membantu golongan memerlukan itu melalui kerjasama agensi terlibat.

Faiz ketika melawat rumah baharu Zakaria Yusof yang telah siap dibina.

“Program AES (Agenda Ekonomi Saksama) di bawah kelolaan kerajaan negeri Pulau Pinang, Zakat Pulau Pinang serta Tenaga Nasional Berhad telah berjaya merealisasikan impian penduduk miskin dan asnaf dengan pembinaan rumah baharu.

“Terkini ialah rumah baharu bagi keluarga Zakaria Yusof dan isterinya, Umi Kalsom Saad yang telah setahun diusahakan kini berjaya siap dibina serta didiami di Bukit Indera Muda, Permatang Pasir.

“Kos pembinaan sejumlah RM48, 000 turut ditanggung oleh agensi Giat Mara dan hampir setahun yang lalu kos sewa rumah keluarga tersebut sehingga siap kediaman telah ditanggung oleh pendakwah bebas, Ustaz Ebit Liew,” katanya.

Selain membantu mengusahakan kediaman baharu bagi golongan asnaf terbabit, Faiz juga menyantuni 250 penduduk tergolong dalam kumpulan B40 dengan menyumbangkan barangan dapur di PPR Ampangan, Permatang Pauh sempena kehadiran awal Ramadan.

Faiz bersama Ustaz Ebit Liew ketika menziarahi kediaman Zakaria sebelum kediaman baru siap dibina.
Faiz menyampaikan sumbangan kepada penduduk PPR Ampangan, Permatang Pauh.