Adun Balung keluar PKR sertai Warisan

Adun Balung keluar PKR sertai Warisan

Selepas menanti hampir setahun, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung, Datuk Osman Jamal akhirnya ‘diterima’ untuk menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan), pada Isnin.

Osman yang terdahulu menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung, Tawau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum ini mengistiyarkan dirinya menyertai PKR sebelum membuat keputusan berkenaan.

Beliau berkata, antara sebab mengapa penyertaannya di dalam Warisan adalah selepas mengambil kira kepentingan pembangunan sosial dan fizikal di kawasan Balung selain sudah berbincang dengan pucuk pimpinan PKR di DUN diwakilinya sebelum ini.

“Selepas berbincang dengan Yang Amat Berhormat (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal), saya kemudiannya memaklumkannya kepada pucuk pimpinan dan pemimpin di Balung di mana saya menyertai Warisan.

“Saya berfikir, majoriti daripada mereka bersetuju dan selepas ini, saya akan balik ke kawasan untuk bertemu dengan cabang-cabang atau ranting (PKR) di mana saya sudah membuat lebih 40 ranting di Balung.

“Ini adalah untuk menjelaskan dengan lebih dekat kenapa kita harus menyokong Warisan sekarang dan masa akan datang, salah satu kita mahu pembangunan begitu baik akan berlaku di Balung yang melibatkan pembangunan sosial dan fizikal,” katanya seperti dipetik Astroawani..

Osman berkata demikian dalam sidang media khas mengenai pengumumannya menyertai Warisan di hadapan Mohd Shafie yang merupakan Ketua Menteri dan Presiden Warisan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) Kota Kinabalu, pada Isnin.

Sementara itu, Mohd Shafie ketika memberikan ulasan mengenai kemasukan Osman mendedahkan Adun Balung itu terpaksa menanti hampir setahun selepas musim PRU14 dahulu selepas penelitian dilakukan oleh pucuk pimpinan parti.

“Walaupun masanya agak lama iaitu setahun dan hari ini sudah pun dijelaskan pada saya, Alhamdulillah tidak bererti bahawa kita akan menerima semua pihak, tidak.

“Kita perlu teliti nilai-nilai perjuangan ini tidak semudah itu kerana kita faham dan tahu bahawa rakyat yang inginkan perubahan itu perlu dihargai dan di hormati dalam usaha kita untuk memajukan dan membangunkan negeri Sabah,” katanya.

Mengulas mengenai jumlah wakil rakyat yang menyertai Warisan dan sekutunya dalam pentadbiran kerajaan negeri, Mohd Shafie menjelaskan pihaknya mempunyai sekurang-kurangnya 48 daripada 60 jumlah Adun  di seluruh Sabah.

“Kita mempunyai jumlah keseluruhan yang ada di bawah pentadbiran kerajaan Warisan dari segi Warisan, PKR, DAP dan juga UPKO kita mempunyai 48 daripada 60 jumlahnya.

“Kita teliti sebenarnya, bukan kita menolak mana-mana pihak ataupun kita terima sesuka hati kena teliti secara dalam kehendak keperluan rakyat dan ada juga sesetengah pihak seperti yang kita nyatakan kes-kes tertentu berlaku ada tuduhan dan itu amat teliti saya tidak mahu nanti ianya akan menjadi hambatan kepada rakyat di masa akan datang,” katanya.