Malaysia Dateline

Adun Batu Burok bawa usul berkaitan Baitulmaqdis di sidang Dun Terengganu

Ahli Dewan Undangan Negeri (Pas-Batu Burok) Dr Syed Azman Syed Ahmad mengusulkan sidang Dun Terengganu membahaskan mengenai kesan pengistiharan Baitulmaqdis sebagai ibu kota kepada Israel oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump hari ini.

Dr Syed Azman Syed Ahmad

Pada sidang dewan negeri yang bersidang hari ini, beliau telah mengemukakan usul di bawah peraturan Majlis Mesyuarat Fasal 30 peraturan-peraturan dan perintah tetap Dun Terengganu dihadapan Speaker Datuk Mohd Zubir Embong.

Dr Syed Azman mencadangkan berhujah kerana kebiadaban AS sangat serius ia ada kaitan dengan kepentingan Malaysia sebagai negara umat Islam dan juga berkait dengan persepakatan Malaysia dengan negara lain untuk mematuhi undang-undang antarabangsa demi memelihara keamanan dunia.

“Amat wajar Dewan yang mulia ini membincang serta membahas isu yang amat penting ini kerana seluruh dunia telah menyatakan penolakan dan kecaman kepada Trump.

“Saya berpendirian adalah wajar seluruh ahli-ahli Dewan tanpa mengira parti menyokong dan meluluskan pendirian kita bersama untuk membantah pengistiharan Presiden Trump ini.

“Keputusan Trump ini akan mencetuskan sinario politik dunia yang amat merbahaya dan boleh mengancam keamanan dunia,” ujarnya.

Justeru katanya lagi, perkara ini perlu disegerakan kerana ia menyentuh hal kepentingan umat Islam dan tindakan biadap ini telah melanggar kesepakatan dunia mengenai kedudukan kota suci Al-Quds.

“Yang jelas Trump menjadi kuda kepada Israel yang sudah lama mahu Jeruselem menjadi ibukota Israel sekaligus mahu menggambilalih Masjid Al Aqsa dan meruntuhkannya untuk membina Kuil Sulaiman yang kononnya adalah tempat rumah ibadat Yahudi.

“Saya yakin bahawa semua ahli-ahli yang berhormat yang ada didalam dewan yang mulia ini, merentas parti politik akan turut bersama menyokong solidariti kita bersama rakyat Palestin dan bumi Al- Quds yang diistiharkan dari Dewan yang mulia ini.

“Saya juga yakin semua ahli dewan dari pelbagai parti politik bersetuju untuk kita mengambil sikap tegas terhadap agenda Zionis yang terus berlaku biadap dan ganas terhadap hak umat Islam Palestin dan mencabar umat Islam seluruh dunia.

“Isu ini juga merentasi tuntutan agama kerana ia berkait dengan kepentingan keamanan , kemanusiaan , kebebasan dan kedaulatan serta hak rakyat Palestin.

“Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, kepentingan ramai serta perlu disegerakan, ” ujarnya.