Malaysia Dateline

Adun bergelar Datuk dibebaskan dengan jaminan SPRM

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu bergelar ‘Datuk’ yang direman bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu bernilai RM500,000, dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM20,000.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan perkara itu ketika dhubungi hari ini.

Adun berkenaan direman tiga hari sejak Isnin, bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu bernilai RM500,000 tahun lalu.

Tuntutan itu dikemukakan menerusi Pejabat Daerah dan Tanah di sebuah daerah di negeri ini untuk perbelanjaan 32 program di sekitar kawasan Dun yang diwakilinya sedangkan program berkenaan tidak dilaksanakan.

Beliau ditahan ketika dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes terbabit di Pejabat SPRM Terengganu kira-kira 5 petang pada 20 Januari lalu.

Beliau disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana membuat tuntutan palsu sekitar Mei tahun lepas.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara hingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai tuntutan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Penahanan Adun berusia 54 tahun itu dibuat rentetan penahanan seorang pengerusi persatuan belia pada 9 Januari dan seorang pegawai daerah pada 14 Jan. Kedua-duanya ditahan berhubung kes tuntutan palsu berkenaan.

Kedua-dua suspek tersebut turut direman namun dibebaskan setelah selesai soal siasat  iaitu masing-masing dijamin RM10,000 dengan deposit dan RM10,000 tanpa deposit.