Malaysia Dateline

ADUN Bugaya meninggal dunia

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu hari ini.

Wakil rakyat berusia 65 tahun itu dimasukkan ke hospital malam tadi kerana masalah buah pinggang, lapor Sabah Post.

“Beliau dimasukkan di unit rawatan rapi (ICU) semalam dan meninggal dunia tengah hari tadi,” katanya.

Difahamkan, Manis yang juga Ketua Wanita Warisan Semporna menghidap penyakit buah pinggang.

Manis yang tinggal di Kampung Bugaya merupakan ibu kepada lima anak lelaki dan lima anak perempuan.

Bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Semporna itu bergiat aktif dalam bidang politik sejak 1985.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu, Manis mempertahankan Bugaya dengan majoriti 6,005 undi menewaskan enam calon lain.

Pertandingan tujuh penjuru itu menyaksikan Manis bertempur dengan calon Perikatan Nasional (PN), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Cinta Sabah (PCS) dan dua calon Bebas.

Manis Muka bergiat aktif selama 35 tahun dalam politik.