ADUN Bugaya selamat dikebumikan

Oleh ARIF ATAN

Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Allahyarhamah Datin Manis Muka Mohd Darah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Bugaya di Semporna pada 4.45 pagi tadi.

Jenazah tiba di Semporna dari Kota Kinabalu pada jam 3.30 pagi melalui jalan darat dan upacara pengebumian dijalankan dengan kehadiran sebilangan ahli keluarga, lapor Bernama.

Dalam pada itu, anak arwah, Fara Deeba Sabardin berkata, ibunya menghidap pelbagai komplikasi penyakit termasuk darah tinggi, kencing manis, tumor dan baru-baru ini, menjalani pembedahan lutut, selain masalah buah pinggang.

“Tetapi sejak tiga hari lalu ibu mengadu sakit dan kami beranggapan, ibu sakit tulang dan kami membawanya ke Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu.

“Rupanya ibu sakit akibat buah pinggang dan hari ke hari kesihatannya semakin merosot dan menggunakan mesin ventilator, pada 6 pagi semalam doktor memanggil dan memberi izin untuk kami berjumpa serta mengucup ibu,” katanya sambil menambah pada jam 1.36 tengah hari mesin ventilator itu dihentikan.

Beliau berkata, ibunya seorang yang kuat semangat dan positif kesihatannya boleh beransur pulih bagi membolehkannya mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Bugaya, sekali gus berbakti kepada rakyat.

“Ibu selalu tidak sihat, kadang-kadang di rumah ibu akan guna kerusi roda tetapi di luar, ibu tidak pernah mahu menunjukkan dirinya sedang sakit malah sebaliknya berlaku,” katanya lagi.

Manis Muka, 65, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Bugaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September lalu, meninggal dunia jam 1.36 tengah hari, semalam, di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu.

Allahyarhamah meninggalkan suami, Datuk Sabardin Omrah, 76, serta 13 anak iaitu tujuh lelaki dan enam perempuan berumur antara 26 dan 49 tahun.

Bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Semporna itu bergiat aktif dalam bidang politik sejak 1985.

Pada PRN lalu, Ketua Wanita Warisan Semporna itu mempertahankan Bugaya dengan majoriti 6,005 undi menewaskan enam calon lain.

Pertandingan tujuh penjuru itu menyaksikan Manis bertempur dengan calon Perikatan Nasional (PN), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Cinta Sabah (PCS) dan dua calon Bebas.