Malaysia Dateline

ADUN DAP dijangka bebas hari ini

Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu dijangka dibebaskan hari ini selepas ditahan polis dari Bukit Aman ketika dia hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Petaling Jaya.

Peguamnya Jadavish Chandra dilapor memberitahu polis pasti akan mereman anak guamnya jika mereka perlu menahan Liu lebih daripada 24 jam, lapor Malaysiakini.

Terdahulu, Liu ditahan ekoran hantaran Facebook berkenaan protes terhadap Raja Maha Vajiralongkorn di Thailand, yang dianggap bersifat menghasut terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Penahanan itu bagi membantu siasatan lanjut ke atasnya yang dibuat mengikut Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid dilapor berkata, Liu akan dibebaskan dengan ikat jamin selepas proses soal siasat selesai.

Dalam hantaran di Facebook, Liu juga turut memuat naik beberapa foto protes di Bangkok dengan ungkapan “Now in Bangkok. They are saying no to the King (Sekarang di Bangkok. Mereka katakan tidak kepada raja).”

Turut tertera ungkapan dalam bahasa Cina yang bermaksud: “Keadaan semasa di Bangkok”.

Walau bagaimanapun Javadish berkata, Liu tidak melakukan sebarang kesalahan dalam hantaran tersebut.

Selain Liu, Bukit Aman juga menyiasat tiga lagi pengguna media sosial kerana membuat kenyataan serupa terhadap Agong.