Malaysia Dateline

ADUN DAP Sarawak sudah setahun lalu potong gaji demi rakyat

Semua wakil rakyat DAP sejak stahun lalu telah memberikan lebih daripada 10 peratus gaji dan elaun mereka untuk membantu rakyat dalam menangani Covid-19.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, berbanding Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menikmati peruntukan RM5 juta tahunan dan tambahan RM200,000 serta peruntukan khas namun ADUN DAP dan Ahli Parlimen DAP yang tanpa ada sebarang peruntukan tetap menggunakan sebahagian daripada gaji dan elaun bulanan mereka bagi menolong rakyat di negeri ini.

“Oleh itu, sumbangan gaji 10 peratus peratus seperti yang diumumkan oleh GPS hanyalah tipu muslihat politik kerana setiap ADUN GPS mempunyai gaji dan peruntukan RM5 juta bagi melaksanakan pelbagai projek termasuk memberi bantuan makanan dan bantuan,”ujarnya dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Sehubungan itu tegas Chong, DAP Sarawak akan meneruskan usaha menyumbang sebahagian daripada gaji dan elaun untuk membantu golongan yang terjejas akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

“Bagi tiga bulan ke depan, semua ADUN DAP dan Ahli Parlimen akan menyisihkan 20% daripada gaji ke dalam akaun pusat khidmat kami untuk mendapatkan bantuan khusus bagi mereka yang memerlukan.

“Ini adalah di atas perbelanjaan bulanan kami yang berkomitmen untuk mengekalkan kakitangan dan perbelanjaan pusat khidmat yang dibiayai terutamanya dari gaji dan elaun kami, tidak seperti GPS yang menikmati pembiayaan khas kerajaan,” tambah beliau lagi.