Adun DAP tepis dakwaan Exco Selangor ‘Oktoberfest’ tidak bermoral

Teng Chan Kim

Kerajaan Selangor tidak menghalang penganjuran ‘Oktoberfest 2018’ selagi ia tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Khim berkata, pendirian itu telah dicapai sejak tahun lalu lagi apabila isu berkenaan hangat diperkatakan.

Kenyataan itu sekaligus menepis dakwaan Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari yang menyatakan kerajaan negeri tidak meluluskan sebarang kegiatan atau penganjuran program yang dilihat tidak mempunyai nilai moral, termasuklah penganjuran pesta arak.

“Saya ingin nyatakan kenyataan Datuk Rashid berkenaan pesta arak tidak benar. Datuk Rashid adalah Exco baru dan belum sampai lima bulan.

“Beliau tidak mengetahui dasar dan pendirian kerajaan mengenai isu ini. Isu ni telah ditetapkan sebelum PRU lagi jadi adalah tidak wajar untuk membuat kenyataan bahawa kerajaan negeri tidak benarkan ‘Octoberfest’ dan ia satu kenyataan yang salah,” katanya pada sidang akhbar  hari ini lapor Ismaweb.

Datuk Abdul Rashid Asari

Sebelum ini Abdul Rashid berkata, Kerajaan Selangor tidak meluluskan sebarang kegiatan atau penganjuran program yang dilihat tidak mempunyai nilai moral, termasuklah penganjuran pesta arak.

Mengulas lanjut perkara itu, Chang Kim yang juga Adun DAP itu turut menyelar pandangan Abdul Rashid yang menganggap Oktoberfest adalah program yang tidak bermoral.

“Ia tidak wajar dan adalah pendapat peribadi beliau. Malaysia adalah negara pelbagai kaum dan budaya, jadi sepatutnya beliau hormat semua kaum dan budaya yang ada,” katanya.

Malah, Chang Khim berkata, beliau tidak melihat penganjuran Oktoberfest menimbulkan masalah atas dasar peraturan sedia ada sebaliknya isu itu disensasikan oleh orang politik dan golongan pelampau tertentu yang enggan memahami konsep masyarakat majmuk.

“Oktoberfest melibatkan beer bukan minuman keras. Kerana beer tidak ditafsirkan sebagai minuman keras mengikut akta kastam itu sendiri.

“Bagaimanapun beer itu tidak boleh diminum oleh orang Islam jadi mereka tidak boleh menghadiri pesta ini. Saya kira ia sudah jelas dan tidak perlu disensasikan melainkan pihak penganjur jemput orang Islam,” katanya.