Malaysia Dateline

Adun desak tindakan ke atas Muhyiddin dan 6 MP Bersatu

Adun Kuang, Sallehudin Amiruddin mendesak agar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan enam lagi Ahli Parlimennya yang melanggar etika parti, dikenakan tindakan disiplin.

Beliau berkata, kesemua ahli Bersatu yang menyokong penyingkiran Tun Dr Mahathir Mohamad juga perlu dikenakan tindakan tatatertib termasuklah disingkir dari parti.

Beliau juga menggelar mereka sebagai parasit yang akan merosakkan parti.

“Setelah parasit parasit ini disingkirkan, Bersatu harus belajar dari kesilapan agar tidak terlalu obses membawa masuk ‘orang luar’ yang belum ditentukan kesetiaan mereka terhadap semangat dan perjuangan parti yang sebenar.

“Lebih penting lagi, mereka yang hendak dilantik sebagai pegawai kementerian juga haruslah dari calon yang bukan dari penyokong parti atau pakatan lawan,” katanya dalam satu kenyataan.

Salahuddin turut mengingatkan tentang fasal 6 perlembagaan Bersatu yang merujuk kepada tujuan dan matlamat parti untuk memperkasa agenda memerangi rasuah dan salah guna kuasa serta mewujudkan amalan tadbir urus yang baik.

“(Perkara ini) perlulah terus dipertahankan dan ahli yang mengingkarinya tidak harus dibenarkan berada dalam parti,” ujarnya.

Semalam, dalam kenyataan bersama, Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi ahli Bersatu menyeru ahli parti berkenaan supaya tidak tunduk terhadap kerajaan yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kerajaan yang ada sekarang bukan pilihan rakyat. Kerajaan yang sah dan hak adalah Pakatan Harapan. Kembalikanlah mandat rakyat,” kata kenyataan tersebut.

Empat pemimpin yang menandatangani kenyataan tersebut ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik.