Malaysia Dateline

ADUN Duyong tawar khidmat nasihat undang-undang percuma

Menyedari bukan semua individu berkemampuan untuk mendapatkan nasihat undang-undang di firma guaman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Damian Yeo Shen Li mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan tersebut secara percuma kepada masyarakat di Duyong dan kawasan sekitarnya.

Yeo berkata orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat nasihat boleh datang ke Pejabat Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Duyong pada setiap hari Rabu bermula 8 malam hingga 10 malam.

“Ini merupakan salah satu cara saya sebagai ADUN berkhidmat kepada rakyat bagi membantu mereka yang menghadapi masalah berkaitan dengan undang-undang.

“Sambutan yang diterima amat baik, sehingga kami terpaksa membuka pusat aduan hingga lewat malam bagi membantu rakyat,” katanya yang berpengalaman lebih 18 tahun sebagai peguam, kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya beliau mula memberi khidmat nasihat undang-undang secara percuma pada 2014 apabila menubuhkan biro undang-undang bersama dua lagi peguam DAP iaitu Goh Leong Chong dan Betty Chew di Lorong Pandan, Melaka.

“Cadangan penubuhan biro tersebut adalah buah fikiran bekas pengerusi DAP Melaka ketika itu Sim Tong Him,” katanya dan menambah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, beliau meneruskan khidmat nasihat undang-undang secara percuma bagi membantu masyarakat di Duyong pula.

Lulusan undang-undang dari University Of London itu berkata beliau menerima pelbagai aduan termasuk kes berkaitan keluarga seperti penceraian dan hak penjagaan anak.

“Selain itu kita juga menerima kes aduan orang ramai yang melibatkan badan kerajaan seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), kes pekerjaan, pecah kontrak, kes rumah dan banyak lagi,” katanya.

Yeo berkata pihaknya terlebih dahulu akan cuba menyelesaikan masalah undang-undang menerusi surat kepada defendan dan akan membawanya ke mahkamah jika gagal mendapat penyelesaian secara perbincangan di luar mahkamah.

Beliau berkata sejak Mei 2018, pihaknya telah menerima aduan daripada 237 orang dengan purata 34 orang bagi setiap bulan.

Yeo berkata sehingga kini pihaknya berjaya menyelesaikan kira-kira 70 peratus kes.