Malaysia Dateline

Adun Gadek yang didakwa di bawah Sosma dibenar mohon ikat jamin

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek G. Saminathan yang didakwa memberikan sokongan dan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas LTTE, dibenar mengemukakan permohonan untuk diikat jamin.

Ia berikutan Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) adalah tidak berpelembagaan.

Saminathan, 34, ditahan reman di Penjara Sungai Buloh di bawah SOSMA yang menafikannya diikat jamin sementara menunggu perbicaraan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam penghakimannya berkata, Seksyen 13 SOSMA adalah tidak berpelembagaan kerana ia melepaskan kuasa budi bicara kehakiman daripada mahkamah untuk menilai sama ada perlu atau tidak membenarkan atau menolak jaminan.

“Saya harus tegaskan bahawa keputusan ini tidak bermakna pemohon mesti atau patut dibenarkan ikat jamin. Keputusan ini hanya mengesahkan kuasa memberi jaminan tidak boleh dihadkan atau dilarang kerana bertentangan dengan Artikel 121(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.– BERNAMA